Dewan Rakyat lulus Belanjawan 2027, perbahasan masuk fasa kedua

2 jam lalu · Isu semasa

Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 mendapat kelulusan di peringkat dasar Dewan Rakyat pada Khamis selepas melalui perbahasan selama dua minggu, sekali gus membuka laluan kepada penelitian lebih terperinci terhadap peruntukan setiap kementerian bermula minggu depan.

Kelulusan majoriti Ahli Dewan Rakyat itu menjadi antara perkembangan utama minggu keempat persidangan Parlimen, yang turut menyaksikan pelbagai isu berkaitan tatakelola, reformasi institusi, pembangunan negeri serta kos sara hidup rakyat dibangkitkan.

Belanjawan 2027 dibentangkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada 9 Oktober lalu. Perbahasan di peringkat jawatankuasa dijadual berlangsung dari 2 hingga 26 November ini sebelum persidangan Dewan Rakyat berakhir pada 8 Disember.

Antara isu utama yang mendapat perhatian ialah cadangan kerajaan menggubal RUU Entiti Milik Kerajaan bagi memperkukuh tatakelola syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi berkaitan, sekali gus mengelakkan penyelewengan seperti yang pernah berlaku dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Felda dan Tabung Haji.

Anwar ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Selasa berkata kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan undang-undang itu bagi mewujudkan peraturan lebih jelas serta mekanisme kawal selia yang berkesan terhadap entiti milik kerajaan, termasuk syarikat subsidiari.

Beliau turut menegaskan keputusan projek dan pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta GLC perlu dibuat secara profesional tanpa campur tangan politik.

“Institusi berkaitan kerajaan yang diberi mandat menjaga kepentingan Bumiputera dan umat Islam perlu menjadi contoh dalam amalan tadbir urus baik, khususnya dari segi integriti, ketelusan dan akauntabiliti pengurusan,” katanya.

Dalam aspek reformasi institusi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said memaklumkan beberapa syor dasar berkaitan penggubalan RUU Pendanaan Politik akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas dalam masa terdekat.

Syor berkenaan akan diteliti dan mendapatkan maklum balas lanjut sebelum dimuktamadkan untuk pertimbangan Jemaah Menteri.

Pembangunan Sabah dan Sarawak turut menjadi perhatian apabila Anwar mempertahankan keputusan kerajaan menyediakan peruntukan pembangunan lebih besar kepada kedua-dua negeri berdasarkan keperluan geografi dan infrastruktur.

Sementara itu, kerajaan sedang memperkukuh perancangan tenaga bagi memenuhi keperluan sektor pusat data. Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Fadillah Yusof berkata Suruhanjaya Tenaga sedang membangunkan kerangka serta garis panduan berkaitan kemudahan penjanaan elektrik sendiri dan penggunaan tenaga boleh baharu dalam sektor berkenaan.

Dalam bidang kesihatan, Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad memaklumkan kementeriannya merancang memperkenalkan konsep hospital *cottage* di kawasan pedalaman, selain memperluas penyumberluaran perkhidmatan hospital kepada 16 bidang pada 2027.

Kerajaan juga akan membawa cadangan pelan tindakan menghadapi kemarau kepada Majlis Pengurusan Bencana Negara bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kesan fenomena El Nino.

Bagi menangani kos sara hidup, Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan pula menyifatkan pelaksanaan BUDI MADANI sebagai antara langkah penting dalam penyasaran subsidi untuk mengurangkan beban rakyat serta membendung ketirisan subsidi bahan api.

Dengan kelulusan di peringkat dasar selesai, perhatian kini beralih kepada perbahasan peruntukan kementerian secara terperinci, termasuk penelitian terhadap keutamaan perbelanjaan dan pelaksanaan program kerajaan.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 37 hari dan dijadual berakhir pada 8 Disember.

Berita berkaitan
Zaid Ibrahim puji langkah bijak Bersatu, Syed Saddiq tandatangan CSA dengan kerajaan
October 30, 2026· Politik
CSA perkukuh kestabilan politik negara: Zaliha
2 jam lalu· Politik
CSA jadi landasan kerjasama politik demi rakyat: PMX
17 jam lalu· Politik
Taufiq sambut baik CSA Kerajaan MADANI, ketengah budaya politik matang: Taufiq
17 jam lalu· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Kempen Internet Selamat fokus penguatkuasaan keselamatan digital: Fahmi
21 jam lalu · Isu semasa
Industri kreatif sumbang RM130.7 bilion kepada ekonomi negara
21 jam lalu · Isu semasa
Pengurangan duti hiburan bukan galak hedonisme, jana ekonomi kreatif: Fahmi
21 jam lalu · Isu semasa
Parlimen: 1,588 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana dadah
23 jam lalu · Isu semasa
Shuhaily kembali ke PDRM, jawatan Ketua Pengarah AKPS kosong: Saifuddin Nasution
24 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok