Dr Zaliha Mustafa.
Pemeteraian Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) antara Kerajaan MADANI dengan Parti Bersatu serta beberapa Ahli Parlimen Bebas dilihat mampu memperkukuh kestabilan politik dan memastikan kesinambungan pentadbiran negara.
Ahli Parlimen Sekijang, Dr Zaliha Mustafa berkata, kesepakatan itu memberi keyakinan kepada usaha meneruskan agenda pembangunan ekonomi, pelaksanaan Belanjawan 2027 dan reformasi institusi secara lebih teratur.
Menurutnya, kestabilan politik dan kepastian dasar amat penting ketika ekonomi global berdepan pelbagai cabaran, terutama bagi mengekalkan keyakinan pelabur serta melindungi kesejahteraan rakyat.
“Dalam keadaan ekonomi global yang semakin mencabar, kestabilan politik dan kepastian dasar antara asas penting untuk mengekalkan keyakinan pelabur serta menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC) itu turut berpandangan perbezaan politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kerjasama demi kepentingan negara.
“Lebih menarik, ketika masih terdapat pihak yang ghairah dengan percaturan untuk menggugat kerajaan, perkembangan hari ini membuktikan perbezaan politik tidak semestinya menghalang kerjasama demi kepentingan negara,” katanya.
Zaliha berharap kesepakatan itu membolehkan semua Ahli Parlimen memberikan tumpuan kepada tanggungjawab masing-masing, termasuk memastikan dasar serta peruntukan yang diluluskan benar-benar membawa manfaat kepada rakyat.
Beliau menegaskan kestabilan politik tidak seharusnya dinilai berdasarkan siapa yang memegang kuasa semata-mata, sebaliknya melalui keupayaan negara meneruskan pembangunan tanpa kemajuan ekonomi terjejas akibat perebutan kuasa.
Semalam, Kerajaan MADANI memeterai CSA dengan enam Ahli Parlimen Bersatu yang diketuai presidennya, Muhyiddin Yassin, serta tujuh lagi wakil rakyat termasuk Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Perjanjian itu menjadi perkembangan terbaharu dalam usaha memperkukuh sokongan politik di Parlimen ketika kerajaan meneruskan agenda pentadbiran, termasuk persediaan dan pelaksanaan Belanjawan 2027.
PRN Melaka: 189 borang penamaan calon dibeli, 45 calon bayar deposit
PAS dakwa pihak lawan gerun penyatuan dengan BN, yakin menang Melaka
PRN Melaka: Bersatu umum lapan calon, empat kerusi bertindih dengan PH
Sanusi bangga cakap Inggeris dialek Sik masih boleh jadi MB Kedah
Syed Saddiq tandatangan CSA, mahu reformasi segera sebelum PRU
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum