Dana Inovasi Media 2.0 diteruskan, lima skop pembiayaan ditawar: Fahmi

October 30, 2026 · Isu semasa

Kerajaan MADANI meneruskan inisiatif Dana Inovasi Media menerusi pelaksanaan Dana Inovasi Media 2.0 bagi memperkukuh industri media tempatan, khususnya dalam aspek pendigitalan, inovasi dan penggunaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI).

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, pelaksanaan fasa baharu itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan industri media negara terus berdaya tahan serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan landskap penyampaian maklumat.

Beliau berkata, Dana Inovasi Media sebelum ini menunjukkan hasil positif apabila sebanyak 72 syarikat media menerima pembiayaan berjumlah RM30 juta.

“Ini menunjukkan industri media tempatan bukan sahaja memerlukan sokongan untuk melakukan transformasi, malah mempunyai kesediaan dan keupayaan memanfaatkan dana tersebut bagi memperkukuh operasi serta meneroka pendekatan baharu dalam penghasilan dan penyampaian kandungan,” katanya dalam sidang media hari ini selepas mesyuarat Kabinet.

Menurut Fahmi, pengumuman pelaksanaan dana itu oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 pada Jun lalu membuktikan kesungguhan kerajaan untuk terus memperkasa sektor media.

Tumpuan diberikan kepada usaha menggalakkan inovasi, mempercepat pendigitalan, membangunkan bakat serta memperluas penerapan teknologi baharu bagi memastikan organisasi media kekal relevan dalam persekitaran digital yang semakin mencabar.

Dana Inovasi Media 2.0 mengekalkan empat skop pembiayaan sedia ada dengan penambahan satu skop baharu, menjadikan keseluruhannya lima skop pembiayaan untuk dimanfaatkan pemain industri.

Langkah itu dijangka membuka ruang kepada lebih banyak organisasi media untuk memperkukuh keupayaan masing-masing, termasuk meneroka kaedah penghasilan kandungan yang lebih inovatif dan memenuhi perubahan tabiat pengguna mendapatkan maklumat.

Dalam masa sama, penerapan AI dalam industri media dilihat semakin penting bagi meningkatkan kecekapan operasi, mempercepat proses penerbitan kandungan serta membantu organisasi media menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi.

Fahmi berharap semua pemain industri media mengambil peluang yang disediakan menerusi Dana Inovasi Media 2.0 untuk meningkatkan keupayaan organisasi masing-masing.

“Saya harap Dana Inovasi Media 2.0 akan dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh seluruh pemain industri,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai syarat dan permohonan dana itu boleh diperoleh menerusi laman web rasmi [https://danainovasimedia.komunikasi.gov.my/](https://danainovasimedia.komunikasi.gov.my/).

Berita berkaitan
Tiada syarat khusus untuk Ahli Parlimen meterai CSA : PMX
October 30, 2026· Politik
CSA bukan tanda Bersatu sertai kerajaan, kekal pembangkang: Tun Faisal
October 30, 2026· Politik
Dewan Rakyat lulus Belanjawan 2027, perbahasan masuk fasa kedua
6 jam lalu· Isu semasa
CSA jadi landasan kerjasama politik demi rakyat: PMX
21 jam lalu· Politik
Lagi Isu semasa terkini
PRN Melaka: SPRM buka bilik gerakan 24 jam, orang ramai boleh buat aduan
October 30, 2026 · Isu semasa
MAPIM gesa tindakan tegas terhadap kempen kebencian susulan serangan di Kulai
October 30, 2026 · Isu semasa
MCMC menang tuntutan RM15.32 juta terhadap MajuBina
October 30, 2026 · Isu semasa
Kempen Internet Selamat fokus penguatkuasaan keselamatan digital: Fahmi
October 29, 2026 · Isu semasa
Industri kreatif sumbang RM130.7 bilion kepada ekonomi negara
October 29, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok