MB Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud bersama PMX, Anwar Ibrahim.
Kerajaan Kelantan menghargai kerjasama Kerajaan Persekutuan yang meluluskan hampir semua permohonan projek pembangunan dan infrastruktur negeri itu, termasuk projek berimpak besar yang dijangka merancakkan ekonomi serta membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.
Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud, berkata kelulusan berkenaan hasil perbincangan dan kerjasama erat antara agensi kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri bagi mengenal pasti masalah serta menentukan keutamaan pembangunan.
Menurutnya, hubungan baik antara kedua-dua pihak membolehkan isu pembangunan dibincangkan secara terbuka sebelum keputusan dibuat.
“Tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan kerana semua isu boleh ditangani melalui perbincangan dan hubungan antara agensi kerajaan Persekutuan dan negeri di Kelantan juga sangat baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Saizol Ismail (PAS-Salor) mengenai kerjasama kerajaan Persekutuan dan negeri dalam meningkatkan pendapatan rakyat pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Antara projek yang mendapat kelulusan ialah pemanjangan landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Pengkalan Chepa sejauh 400 meter serta cadangan sambungan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu ke Rantau Panjang.
Mohd Nassuruddin berkata pembangunan infrastruktur yang lengkap penting untuk menarik pelaburan, merancakkan pembukaan kawasan perindustrian dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Beliau turut menyambut baik maklum balas positif Kerajaan Persekutuan terhadap cadangan menyambung jajaran ECRL ke Rantau Panjang, yang terletak berhampiran sempadan Thailand.
Katanya, pelaksanaan projek berkenaan berpotensi membawa perubahan besar kepada pembangunan ekonomi Kelantan, terutama melalui peningkatan hubungan pengangkutan dan aktiviti perdagangan rentas sempadan.
“Kalau projek-projek yang kita bincang ini berjaya, banyak perubahan akan berlaku. Hampir semua yang kita minta kita dapat, termasuk Empangan Lebir.
“Saya ucap terima kasih kerana apabila projek ini selesai, peluang pekerjaan juga akan ada,” katanya.
Kelantan sebelum ini berdepan cabaran pembangunan infrastruktur dan keperluan meningkatkan peluang ekonomi untuk penduduknya. Justeru, pelaksanaan projek berskala besar seperti ECRL, pembangunan lapangan terbang dan Empangan Lebir dilihat penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negeri dalam jangka panjang.
Isu KKDW terlebih belanja RM2.1 bilion: AMK Selangor persoal penjelasan SUA Zahid
BN-PN bergabung, DAP perlu bersedia hadapi cabaran besar: Loke
Najib kekal di penjara selagi denda RM50 juta belum dibayar: AG
PRN Melaka: Elak isu 3R, semua parti dinasihati kempen secara sihat
PRN Melaka: PH persoal rekod BN, isu rakyat belum selesai
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum