Kumpulan NGO gesa kerajaan dan blok pembangkang sepakat laksana lapan reformasi

November 3, 2026 · Politik

Sebanyak 48 organisasi masyarakat sivil (NGO) menggesa Kerajaan MADANI dan Perikatan Nasional (PN) memeterai satu perjanjian merentas parti bagi melaksanakan lapan reformasi utama sebelum tamat penggal Parlimen ke-15 pada 18 Disember 2027.

Gabungan organisasi itu berpandangan perjanjian berkenaan penting bagi memastikan agenda reformasi negara tidak terbantut akibat ketidaktentuan politik, selain memperkukuh demokrasi berparlimen dan memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.

Dalam kenyataan bersama pada 3 November, mereka menggesa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, mengadakan rundingan secara langsung dengan kepimpinan tertinggi PN bagi mencapai persetujuan melibatkan kesemua 218 Ahli Parlimen.

Menurut mereka, lapan reformasi dicadangkan merangkumi had tempoh jawatan Perdana Menteri maksimum 10 tahun, pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, Akta Kebebasan Maklumat serta penubuhan Akta Ombudsman.

Turut dicadangkan ialah Akta Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) yang adil kepada semua Ahli Parlimen dan ADUN, Akta Pendanaan Politik, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertanggungjawab kepada Parlimen serta penetapan notis tiga bulan bagi pembubaran awal Parlimen.

Gabungan itu berkata, empat reformasi pertama merupakan antara janji awal Anwar ketika mengambil alih pentadbiran negara, termasuk dua pindaan perlembagaan yang memerlukan sokongan majoriti dua pertiga atau sekurang-kurangnya 148 Ahli Parlimen.

“Had tempoh jawatan Perdana Menteri selama 10 tahun akan membolehkan pembaharuan dan penyegaran semula kepimpinan, di samping mencegah penyalahgunaan kuasa dan politik dinasti,” menurut kenyataan itu.

Mereka turut menegaskan pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya penting bagi mengelakkan pendakwaan terpilih serta memastikan keadilan undang-undang dilaksanakan tanpa pilih kasih.

Dalam masa sama, Akta Kebebasan Maklumat dan Akta Ombudsman dilihat mampu meningkatkan ketelusan pentadbiran, memperkukuh akauntabiliti kerajaan serta memberi ruang kepada rakyat mendapatkan maklumat berkaitan kepentingan awam.

Bagi reformasi berkaitan CDF pula, gabungan itu menegaskan peruntukan pembangunan kawasan perlu diberikan secara adil kepada semua wakil rakyat tanpa mengira kedudukan mereka sebagai kerajaan atau pembangkang.

Mereka juga mahu Akta Pendanaan Politik diwujudkan bagi mengawal sumber kewangan parti, mengelakkan penyelewengan dana awam dan mengurangkan pengaruh penderma swasta atau asing.

Mengulas perkembangan politik semasa, gabungan itu mengalu-alukan pemeteraian Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) pada 29 Oktober lalu antara kerajaan dengan 13 Ahli Parlimen, termasuk tujuh daripada Bersatu, seorang daripada MUDA dan enam bekas ahli Bersatu.

Bagaimanapun, mereka berpandangan perjanjian itu masih terlalu terhad kerana tidak merangkumi keseluruhan agenda reformasi, manakala pemberian CDF yang adil masih bergantung kepada rundingan politik dan bukannya jaminan undang-undang.

“Kami menyokong gesaan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said, agar PN memeterai satu lagi CSA dengan Kerajaan Madani. Namun, skop perjanjian itu mestilah lebih luas dan merangkumi kepentingan sah pembangkang,” menurut kenyataan berkenaan.

Gabungan itu turut menggesa PN mengambil peluang mengemukakan tawaran reformasi menyeluruh sebagai bukti kesediaan parti itu menawarkan kepimpinan yang lebih demokratik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Mereka turut mencadangkan kerajaan memberi komitmen menetapkan notis pembubaran Parlimen tiga bulan lebih awal sekiranya tiada persetujuan untuk membiarkan Parlimen ke-15 melengkapkan penggal sehingga 18 Disember 2027.

Langkah itu disifatkan penting bagi membolehkan SPR, parti politik dan rakyat membuat persiapan pilihan raya lebih teratur, sekali gus mengelakkan amalan pilihan raya mengejut.

Kenyataan bersama itu dimulakan oleh Project Stability and Accountability for Malaysia (Projek SAMA), Bersih, C4 Center, IDEAS, Pertubuhan IKRAM Malaysia dan Rasuah Busters, serta mendapat sokongan 42 organisasi masyarakat sivil lain.

Mereka turut menjadikan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob dengan Pakatan Harapan pada 13 September 2021 sebagai contoh kerjasama politik yang mampu menghasilkan reformasi dan kestabilan negara.

Berita berkaitan
Sistem cukai mesti adil, golongan kaya tidak boleh terlepas: PMX
7 jam lalu· Isu semasa
Anwar beri amaran risiko serangan siber terhadap Malaysia
9 jam lalu· Isu semasa
Johari: Kebergantungan pekerja asing perlu dikurangkan segera
November 2, 2026· Isu semasa
CSA enam Ahli Parlimen Bersatu bukan keputusan PN: Takiyuddin
November 2, 2026· Politik
Lagi Politik terkini
AMK bidas Hadi persoal CSA sehingga samakan pendekatan Dajal
November 3, 2026 · Politik
Projek jalan luar bandar: Mahfuz sindir Zahid, jangan hanya pandai salahkan MOF
3 jam lalu · Politik
Zahid sangkal dakwaan calon BN salah guna jentera kerajaan di Melaka
3 jam lalu · Politik
PRN Melaka: Adam gesa beri peluang calon muda buktikan kemampuan
3 jam lalu · Politik
Isu projek Sabah, Sarawak: Zahid sedia kemuka bukti surat, nafi sabotaj
3 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
November 1, 2026
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok