Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari mengkritik Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang mengaitkan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan istilah ‘dajal’.
Adly berkata setiap teguran terhadap kerjasama politik perlu disertakan hujah serta bukti yang jelas, bukannya sekadar menggunakan label yang boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap sesuatu perjanjian.
Menurutnya, kandungan perjanjian politik perlu diteliti terlebih dahulu sebelum sebarang kesimpulan dibuat, khususnya apabila ia membabitkan usaha menjamin kestabilan pentadbiran negara.
“Dengan segala hormat, perbezaan pandangan tentang aturan politik wajar dijawab melalui hujah dan penelitian kandungannya. Label sebesar itu tidak dengan sendirinya menjadikan sesuatu hujah lebih kukuh,” katanya pada sidang media hari ini.
Adly berkata, PH bersetuju hasil negara merupakan hak seluruh rakyat dan kebajikan masyarakat tidak sepatutnya ditentukan berdasarkan sokongan politik seseorang.
Bagaimanapun, katanya, prinsip kebajikan rakyat perlu dibezakan daripada persoalan kerjasama antara kerajaan dengan pembangkang bagi memastikan kestabilan pentadbiran.
Beliau turut mengingatkan kerjasama politik merentas parti bukan perkara baharu dalam landskap politik negara.
Sebagai contoh, kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob pernah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bersama PH pada 13 September 2021.
Menurutnya, walaupun MoU berkenaan berbeza daripada CSA yang menjadi perdebatan ketika ini, ia membuktikan kerjasama antara kerajaan dengan pembangkang pernah dilaksanakan atas kepentingan kestabilan negara.
Malah, Adly berkata, Setiausaha Agung PAS ketika itu, Takiyuddin Hassan turut menyifatkan kerjasama politik menerusi MoU berkenaan sebagai perkembangan yang mampu membawa manfaat kepada negara dan rakyat.
“Rakyat berhak bertanya, apakah yang berubah pada prinsipnya atau sekadar kedudukan PAS dalam kerajaan?
“Jika ada fasal CSA yang tidak adil, nyatakan fasalnya. Jika ada hak rakyat dinafikan, kemukakan buktinya. PH Melaka mengalu-alukan teguran yang berasas dan penelitian yang terbuka,” katanya.
Isu CSA menjadi perhatian susulan perdebatan mengenai keperluan kerajaan dan pembangkang mencapai persefahaman politik bagi menjamin kestabilan pentadbiran, selain persoalan sama ada kerjasama sedemikian boleh menjejaskan prinsip serta kepentingan rakyat.
Ibu Nizar Najib kritikal, mohon doa orang ramai
Asyraf Wajdi: Belum cukup dana untuk bayar denda Najib
Tarikh sidang DUN Negeri Sembilan belum dapat perkenan: Ismail Lasim
Spekulasi bayaran RM50 juta, peguam Najib tampil beri penjelasan
Jangan samakan CSA dengan Dajal, PAS dibidas guna agama serang lawan
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum