Mahfuz Omar.
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang didakwa mengamalkan pendekatan politik dua standard apabila menyamakan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan pendekatan Dajjal ketika partinya berada di blok pembangkang.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mahfuz Omar berkata, pendirian Abdul Hadi itu bercanggah dengan sejarah politik PAS yang pernah terlibat dalam persefahaman politik seumpama itu ketika menjadi sebahagian daripada kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob.
Menurutnya, Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan ketika itu dengan Pakatan Harapan (PH) pada 2021 merupakan satu bentuk CSA yang turut mendapat pengiktirafan pakar perundangan.
Beliau berkata, ketika perjanjian berkenaan dimeterai, PAS bukan sahaja berada dalam kerajaan, malah mempunyai beberapa wakil dalam Kabinet.
Malah, katanya, Annuar Musa menjadi saksi bagi pihak kerajaan ketika dokumen itu ditandatangani, manakala Abdul Hadi sendiri ketika itu memegang jawatan Duta Khas Perdana Menteri bertaraf menteri.
“Jika CSA itu pendekatan Dajjal, bagaimana pula dengan persefahaman politik yang dilaksanakan ketika PAS sendiri berada dalam kerajaan?
“Mengapa ketika itu Presiden PAS tidak mengeluarkan kecaman yang sama? Mengikut logik beliau sekarang, PAS pernah mengamalkan pendekatan Dajjal ketika berada dalam kerajaan pimpinan Ismail Sabri,” katanya dalam kenyataan.
Mahfuz berkata, PAS tidak boleh menikmati kuasa dan kedudukan ketika berada dalam kerajaan, tetapi mengambil sikap seolah-olah tidak mempunyai kaitan dengan keputusan yang dibuat apabila berada di luar kerajaan.
Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai politik dua wajah apabila sesuatu persefahaman dianggap strategi politik jika dilakukan sendiri, tetapi dilabel sebagai pendekatan yang salah apabila dilakukan pihak lain.
“Apabila PAS buat dan terlibat menghasilkan CSA, namanya pendekatan strategi. Apabila orang lain buat, namanya pendekatan Dajjal. Inikah agama yang mahu dijadikan neraca politik PAS?” soalnya.
Mengulas tindakan Abdul Hadi yang turut memetik ayat kelapan Surah al-Maidah berkaitan prinsip keadilan, Mahfuz mengingatkan pemimpin PAS supaya mengamalkan prinsip sama ketika menilai tindakan dan sejarah politik parti sendiri.
Katanya, keadilan bukan sekadar digunakan untuk mengkritik pihak lawan, sebaliknya menuntut seseorang pemimpin menilai percanggahan pendirian serta keputusan politik yang pernah dibuat partinya.
Mahfuz turut mengingatkan perbahasan politik sepatutnya memberikan tumpuan kepada isu lebih penting seperti ekonomi, peluang pekerjaan, pendidikan dan masa depan negara.
“Rakyat mahu mendengar dasar dan penyelesaian tentang ekonomi, pekerjaan, pendidikan dan masa depan negara. Bukan setiap kali kehabisan hujah, Dajjal pula dijadikan modal politik,” katanya.
Beliau turut menegaskan agama tidak sepatutnya digunakan sebagai alat untuk menakut-nakutkan rakyat atau membina kebencian terhadap pihak yang berbeza pandangan politik.
Ibu Nizar Najib kritikal, mohon doa orang ramai
Asyraf Wajdi: Belum cukup dana untuk bayar denda Najib
Tarikh sidang DUN Negeri Sembilan belum dapat perkenan: Ismail Lasim
Spekulasi bayaran RM50 juta, peguam Najib tampil beri penjelasan
Jangan samakan CSA dengan Dajal, PAS dibidas guna agama serang lawan
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum