Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Perbezaan pandangan atau pendekatan antara kementerian dalam kerajaan tidak bermaksud wujud perpecahan dalam pentadbiran, sebaliknya sebahagian daripada proses perbincangan dan penyelarasan dasar sebelum sesuatu keputusan dimuktamadkan.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, setiap kementerian mempunyai tanggungjawab, bidang kuasa dan keutamaan tersendiri yang perlu diambil kira bagi memastikan agenda Kerajaan Madani dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Menurutnya, setiap dasar dan keputusan kerajaan perlu melalui proses pertimbangan serta penyelarasan sewajarnya bagi memastikan tadbir urus berjalan secara teratur.
“Penyelarasan antara kementerian dilaksanakan secara teratur bagi menjamin keselarasan dasar, mengelakkan pertindihan fungsi dan memastikan setiap keputusan dibuat berdasarkan kepentingan rakyat, keutamaan pembangunan negara serta kemampuan kewangan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman rasmi Parlimen bagi menjawab soalan Hamzah Zainudin (PN-Larut).
Hamzah meminta penjelasan sama ada percanggahan terbuka antara Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menunjukkan wujudnya perpecahan dalam kerajaan, selain pihak yang mempunyai kuasa menentukan pendirian rasmi kerajaan.
Anwar menjelaskan, perkara yang memerlukan keputusan bersama akan dibawa ke peringkat Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan persetujuan, selaras dengan prinsip tanggungjawab bersama anggota Kabinet.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata prestasi ekonomi negara terus dipantau secara berterusan berdasarkan data serta indikator ekonomi semasa.
Katanya, pemantauan itu penting bagi menilai keberkesanan dasar kerajaan dan memastikan daya tahan ekonomi negara terus diperkukuh ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
“Kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama antara kementerian, meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar serta memantau pencapaian setiap inisiatif.
“Ini bagi memastikan keputusan yang dibuat diterjemahkan kepada hasil yang nyata, mampan dan memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya.
Perbezaan pandangan antara kementerian sebelum ini sering menjadi perhatian, khususnya apabila melibatkan isu peruntukan, pelaksanaan dasar dan keutamaan pembangunan.
Bagaimanapun, kerajaan menegaskan keputusan rasmi perlu ditentukan melalui mekanisme penyelarasan dan persetujuan Jemaah Menteri bagi memastikan pentadbiran bergerak atas satu pendirian bersama.
Anwar tegur Hadi jangan permainkan agama, sedia dedah kandungan CSA
CSA jadi Dajal apabila PAS jadi pembangkang? Mahfuz persoal Hadi
PRN Melaka: Azman mahu anak muda Paya Rumput kerja dekat kampung sendiri
Pemimpin PKR kecam Hadi kaitkan CSA dengan pendekatan Dajal
CSA: PH Melaka bidas Hadi, gesa hentikan politik melabel cetus perpecahan
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum