Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar.
Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar membidas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan yang mendakwa Pakatan Harapan (PH) masih berkelakuan seperti pembangkang walaupun kini menjadi sebahagian daripada kerajaan.
Mahfuz berkata, Mohamad yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) sepatutnya menilai terlebih dahulu hala tuju dan pendirian politik UMNO serta BN sebelum mempertikaikan sikap PH.
Menurutnya, tindakan UMNO dan BN menjalinkan kerjasama dengan PAS serta Perikatan Nasional (PN) menerusi manifesto dan strategi pilihan raya bersama bagi menghadapi PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memperlihatkan percanggahan politik yang ketara.
Beliau mempersoalkan pihak mana sebenarnya yang mengamalkan politik pembangkang apabila UMNO dan BN masih berada dalam kerajaan di peringkat Persekutuan, tetapi pada masa sama bekerjasama dengan gabungan yang menjadi lawan politik PH.
“Siapa sebenarnya yang sedang berkelakuan seperti pembangkang? PH yang menjadi rakan kerajaan di Putrajaya, atau UMNO BN yang masih menikmati kuasa dalam Kerajaan Madani tetapi memilih janda lama PAS dan PN sebagai rakan strategik untuk menentang PH dalam PRN Melaka?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahfuz turut menyifatkan tindakan berkenaan seolah-olah UMNO dan BN menikmati kuasa dalam Kerajaan Madani, tetapi pada masa sama mengambil langkah melemahkan rakan sendiri menjelang pilihan raya.
Beliau mengingatkan UMNO dan BN supaya tidak menjadi penumpang yang menikmati hasil perjalanan kerajaan, sedangkan pada masa sama bertindak menebuk perahu yang membawa mereka.
“Kerajaan Madani tidak memerlukan rakan yang hanya setia ketika membahagikan jawatan tetapi berubah menjadi lawan apabila tiba pilihan raya,” katanya.
Sehubungan itu, Mahfuz menggesa UMNO dan BN membuat keputusan jelas mengenai kedudukan mereka dalam Kerajaan Madani sekiranya sudah memilih PAS dan PN sebagai rakan strategik politik.
“Jangan terus berpaut pada kuasa kerajaan sambil membina kekuatan bersama pihak yang mahu menumbangkan rakan kerajaan sendiri.
“Kalau sudah jatuh hati kepada janda lama PAS dan PN, jangan terus berpura-pura setia kepada PH. Jangan main kayu tiga. Berani membuat keputusan, berani memikul tanggungjawab,” katanya.
Mahfuz turut menggunakan perumpamaan musang yang menjaga reban ayam bagi menggambarkan tindakan kepimpinan UMNO yang didakwanya seolah-olah membuka ruang kepada pihak lain untuk melemahkan gabungan kerajaan dari dalam.
Bekas pegawai khas Najib, aktivis UMNO diperintah bayar RM433,000 kepada pendakwah
Pembubaran DUN bukan jaminan krisis Negeri Sembilan selesai: Laporan
Johari tegur menteri gagal jawab soalan Ahli Parlimen
Saifuddin: Minit pengampunan Najib perlu untuk afidavit AGC dan dinyahklasifikasi
Ismail Lasim dirawat di hospital, keadaan semakin pulih: Bernama
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan