Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin.
UMNO diminta segera mendedahkan secara terperinci sumber kutipan RM50 juta yang dikumpulkan bagi membantu membayar denda dikenakan terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Danish Hairudin berkata, pendedahan itu perlu dibuat secara terbuka tanpa perlu menunggu arahan atau permintaan daripada mana-mana pihak berkuasa.
Beliau berkata, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi sendiri sebelum ini menjelaskan RM50 juta berkenaan dikumpulkan menerusi pendanaan awam.
Justeru, katanya, UMNO perlu membuktikan ketelusan kutipan berkenaan dengan mendedahkan identiti penyumbang utama, jumlah sumbangan serta penyata lengkap kutipan dan pembayaran.
“Jangan sekadar berkata sedia dedah. Dedahkan segera siapa penyumbang utama, berapa sumbangan mereka dan bentangkan penyata kutipan serta pembayaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Danish, langkah itu penting bagi menepis dakwaan atau persepsi kemungkinan dana berkenaan disumbangkan tokoh korporat atau individu berkepentingan yang mempunyai hubungan rapat dengan Najib.
Katanya, pendedahan secara terperinci dengan rekod yang boleh disemak juga penting bagi memastikan tiada pihak dikaitkan dengan kutipan itu tanpa sebarang bukti.
Dalam masa sama, beliau mempersoalkan kemungkinan wujud sebarang kepentingan atau tuntutan balas daripada penyumbang sekiranya UMNO terus memainkan peranan dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
Danish berkata, sumbangan berkenaan tidak sepatutnya menjadi alasan untuk mana-mana pihak mengharapkan projek kerajaan, kontrak atau layanan istimewa pada masa hadapan.
“Rakyat juga mahukan jaminan sumbangan ini tidak datang dengan tuntutan balas sekiranya UMNO terus menerajui Kerajaan Persekutuan.
“Jangan sampai penyumbang mengharapkan projek, kontrak atau layanan istimewa atas alasan pernah membantu. Di situlah mula timbul konflik kepentingan dan ruang salah guna kuasa,” katanya.
Beliau menegaskan sumbangan kepada individu tidak boleh dibalas menggunakan kuasa atau kedudukan dalam kerajaan kerana ia boleh menimbulkan persoalan serius mengenai integriti dan tadbir urus.
“Budi kepada individu jangan dibayar dengan kuasa kerajaan. Apabila kutipan dibuat secara terbuka, pertanggungjawabannya juga mesti terbuka,” katanya.
Isu kutipan RM50 juta itu mendapat perhatian susulan keputusan mahkamah berhubung hukuman terhadap Najib, termasuk denda yang dikenakan dalam kes berkaitan SRC International.
Bekas pegawai khas Najib, aktivis UMNO diperintah bayar RM433,000 kepada pendakwah
Pembubaran DUN bukan jaminan krisis Negeri Sembilan selesai: Laporan
Johari tegur menteri gagal jawab soalan Ahli Parlimen
Saifuddin: Minit pengampunan Najib perlu untuk afidavit AGC dan dinyahklasifikasi
Ismail Lasim dirawat di hospital, keadaan semakin pulih: Bernama
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan