Isu percukaian SST dan GST.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan belum bercadang melaksanakan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) kerana bimbang sistem percukaian itu memberi kesan negatif kepada rakyat, khususnya dari segi peningkatan kos sara hidup.
“Saya bimbang satu, boleh tak Beluran jamin dalam sistem GST diperkenalkan di semua negara di dunia bahawa kesan kepada rakyat itu tidak lebih negatif.
“Sebab itu saya menolak rancangan memperkenalkan GST sekarang,” kata Anwar ketika menjawab soalan tambahan Ronald Kiandee (PN-Beluran) pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menegaskan keputusan kerajaan menolak pelaksanaan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) bukan didorong kepentingan politik, sebaliknya mengambil kira kesan sistem percukaian itu terhadap rakyat.
Anwar berkata, sekiranya GST benar-benar memberi manfaat kepada ekonomi negara dan rakyat, kerajaan tidak mempunyai sebab untuk menolaknya atas pertimbangan politik.
“Saya berkeras tidak mahu GST. Bukan soal politik, apa nak politiknya kalau ia menguntungkan ekonomi negara dan menguntungkan rakyat,” katanya lagi.
Ronald sebelum itu mempersoalkan sama ada pendirian Anwar menolak GST disebabkan pertimbangan politik, memandangkan terdapat desakan supaya sistem cukai itu diperkenalkan semula bagi meningkatkan hasil kerajaan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata kebimbangan utama kerajaan ialah kemungkinan pelaksanaan GST menyebabkan rakyat menanggung beban kewangan lebih besar, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Beliau turut meminta Ahli Parlimen Beluran itu memberi jaminan sistem GST yang dilaksanakan di negara lain tidak membawa kesan negatif kepada rakyat.
Sementara itu, menjawab pertanyaan Howard Lee (PH-Ipoh Timur) mengenai cadangan beberapa Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang supaya GST dikembalikan, Anwar berkata kutipan hasil cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ketika ini bersamaan 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Menurutnya, kadar itu menyamai sumbangan hasil GST kepada KDNK pada 2017, sekali gus menunjukkan tiada keperluan mendesak untuk memperkenalkan semula sistem berkenaan semata-mata bagi meningkatkan pendapatan negara.
Anwar menjelaskan perbezaan utama kedua-dua sistem cukai itu ialah SST dikenakan kepada peniaga, khususnya pada peringkat import, manakala GST merupakan cukai lebih menyeluruh yang turut melibatkan pengguna.
“GST itu cukai kepada rakyat terbanyak. SST cukai kepada peniaga walaupun sebahagian kecilnya memang turun kepada rakyat,” katanya.
Untuk rekod, GST pernah dilaksanakan di Malaysia pada April 2015 sebelum dimansuhkan pada September 2018 dan digantikan dengan SST.
Isu mengembalikan GST terus menjadi perdebatan antara kerajaan dan pembangkang, terutama berkaitan keperluan memperkukuh hasil negara, memperluas asas percukaian serta memastikan kos sara hidup rakyat tidak terus meningkat.
Malaysia kekal kerusi Majlis ITU, raih 145 undi
KWSP raih RM83.32 bilion hasil pelaburan dalam sembilan bulan
Tipu selebriti urusan hartanah, lelaki dipenjara setahun dan dua sebatan
PMKS berpeluang tembusi pasaran China menerusi ACFTA 3.0: PMX
Dua tahun terhenti, Litar Lumba Sungai Petani disasar siap 2027: Sanusi
[VIDEO] Berita Pilihan Agenda Daily | 16 November 2026
[VIDEO] Jangan pandang rendah kemampuan anak muda: Mukhlis