Liputan 4G di sekolah.
Sebanyak 10,207 daripada 10,259 sekolah di seluruh negara kini menikmati liputan rangkaian 4G, bersamaan 99.5 peratus, hasil usaha kerajaan memperkukuh infrastruktur komunikasi bagi menyokong agenda pendidikan digital negara.
Kementerian Komunikasi memaklumkan, baki 52 sekolah yang masih belum mendapat liputan akan terus diberi perhatian bagi memastikan kesalinghubungan digital dapat dinikmati secara menyeluruh, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Menurut jawapan bertulis kementerian di Dewan Rakyat, pembangunan infrastruktur digital tidak hanya diukur berdasarkan kadar liputan, sebaliknya turut mengambil kira kestabilan dan kualiti perkhidmatan Internet yang diterima warga sekolah.
Bagi memperkukuh kemudahan berkenaan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang melaksanakan Projek JENDELA 2 (Kumpulan 1) secara berperingkat mulai November 2026.
Projek itu melibatkan pembangunan 1,000 tapak di seluruh negara, termasuk 12 tapak di Johor. Keutamaannya diberikan kepada kawasan berpenduduk, terutama lokasi luar bandar dan pedalaman yang masih belum mempunyai liputan komunikasi.
Pemilihan teknologi pula mengambil kira kepadatan penduduk, bentuk muka bumi serta ketersediaan infrastruktur sedia ada.
Selain itu, kerajaan turut melaksanakan Projek Point of Presence (PoP) dengan kos keseluruhan RM4.6 bilion bagi menyediakan infrastruktur gentian optik berhampiran sekolah.
Sehingga November 2026, kesemua 677 lokasi PoP Fasa 1 telah siap, termasuk 630 lokasi berhampiran sekolah.
Bagi PoP Fasa 2 pula, sebanyak 2,985 daripada 3,013 lokasi berhampiran sekolah atau 99.07 peratus telah disiapkan. Baki projek dijangka selesai pada 31 Disember 2026.
Infrastruktur PoP turut memberi manfaat kepada premis kerajaan, kediaman dan komuniti setempat dalam lingkungan radius 2.5 hingga tiga kilometer dengan tawaran kelajuan sehingga 1Gbps.
Dalam pada itu, kementerian menjelaskan pembahagian tanggungjawab antara Kementerian Komunikasi dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dibuat secara saling melengkapi.
Kementerian Komunikasi bertanggungjawab menyediakan infrastruktur komunikasi berkelajuan tinggi, manakala urusan perolehan dan langganan Internet di sekolah diuruskan sepenuhnya oleh KPM menerusi tender terbuka.
Pemilihan penyedia perkhidmatan mengambil kira keperluan setempat, spesifikasi teknikal, kelajuan, tahap perkhidmatan serta tawaran harga terbaik bagi setiap sekolah.
KDN buru individu berprofil tinggi dalam sindiket dadah TUDM
Anwar: Rasuah sudah jadi masalah sistemik, tindakan tegas perlu diteruskan
Ringgit mengukuh berbanding dolar AS, pelabur beralih kepada aset selamat
AKPS catat rampasan RM322 juta dalam tempoh 10 bulan
Sindiket seludup syabu ke Indonesia tumpas, rampasan bernilai RM5.19 juta
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib