Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mengingatkan enam Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baharu supaya memahami batas tugas dan bidang kuasa masing-masing serta tidak bertindak melampaui tanggungjawab ditetapkan.
Baginda bertitah, kemelut politik dan pentadbiran yang berlaku di negeri itu sebelum ini perlu dijadikan pengajaran supaya perkara sama tidak berulang sehingga menjejaskan keharmonian dan kestabilan kerajaan negeri.
“Segala peristiwa dan isu tercetus baru-baru ini harus dijadikan pengajaran dan pedoman oleh semua pihak, terutamanya kamu semua sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
“Kamu hendaklah sentiasa memahami batas tugas dan bidang kuasa masing-masing serta tidak bertindak melampaui kuasa dan tanggungjawab yang telah ditetapkan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Exco baharu di Istana Besar Seri Menanti, di sini, hari ini.
Turut berangkat, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, manakala Menteri Besar, Ismail Lasim turut hadir.
Tuanku Muhriz turut mengingatkan barisan Exco supaya memberikan sepenuh perhatian kepada portfolio masing-masing serta melaksanakan amanah dengan penuh komitmen dan kebijaksanaan.
Baginda menegaskan pelantikan sebagai Exco bukan sekadar satu penghormatan, sebaliknya membawa tanggungjawab besar kepada negeri dan rakyat.
“Utamakan kepentingan rakyat, laksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti dan profesionalisme, serta pastikan setiap keputusan yang dibuat berlandaskan kepentingan negeri dan kesejahteraan rakyat,” titah baginda.
Dalam majlis sama, enam ADUN mengangkat sumpah sebagai Exco baharu bagi membentuk semula barisan pentadbiran kerajaan negeri selepas kemelut politik yang berlarutan sejak September lalu.
Mereka terdiri daripada tiga wakil UMNO iaitu ADUN Kota, Suhaimi Aini; ADUN Jeram Padang, Mohd Zaidy Abdul Kadir dan ADUN Senaling, Mohamad Qayyum Abd Jalil.
Tiga lagi ialah ADUN Bagan Pinang, Abdul Fatah Zakaria (PAS); ADUN Gemas, Ridzuan Ahmad (Wawasan) dan ADUN Repah, Koh Kim Swee (MCA).
Pelantikan itu menyusul keputusan Tuanku Muhriz pada 20 September lalu membatalkan pelantikan kesemua 10 Exco kerajaan negeri berkuat kuasa serta-merta selepas mendapati mereka memungkiri sumpah jawatan melalui tindakan dan kenyataan pada 15 September.
Keputusan berkenaan dibuat berdasarkan Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 yang menetapkan seseorang Exco memegang jawatan selagi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar.
Tuanku Muhriz turut mendoakan Menteri Besar dan seluruh barisan Exco diberikan petunjuk, kekuatan serta kebijaksanaan dalam melaksanakan amanah demi memastikan Negeri Sembilan terus aman, makmur dan sejahtera.
Puad persoal masa depan Bersatu tanpa Muhyiddin dan PAS
DAP cadang PRN Pulau Pinang diadakan serentak dengan PRU
DAP mahu undang-undang baharu ganti Akta Hasutan: Gobind
Prestasi Loke baik, Anwar mahu Loke kembali bertugas segera
PRN Sarawak: GPS kuasai 29 kerusi tanpa bertanding
[VIDEO] 13 platform e-dagang sepakat banteras jualan barangan terlarang
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib