Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Spekulasi mengenai kemungkinan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bertanding di kerusi Parlimen Ampang semakin mendapat perhatian selepas pengesahan beliau menyertai PKR dua minggu lalu.
Parlimen Ampang merupakan kubu kuat PKR sejak ia dirampas daripada UMNO semasa Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dan sehingga sekarang masih menyandang kerusi tersebut.
Seorang pemerhati politik, Dr G Manimaran melihat perkembangan ini sebagai langkah strategik untuk mengekalkan kedudukan Tengku Zafrul dalam Kabinet selepas tempoh Senatornya tamat pada hujung tahun ini.
Beliau yang sebelum ini merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ketua Bahagian UMNO Kota Raja kini menghadapi persoalan mengenai masa depan politiknya dalam PKR.
“PKR perlu membuat keputusan sama ada memberi laluan kepada Tengku Zafrul bertanding di kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri untuk mengekalkan beliau dalam Kabinet,” jelas Manimaran dipetik laporan portal Sinar Harian.
Tengku Zafrul yang sebelum ini dikenali sebagai tokoh korporat dan pernah memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan di bawah kerajaan Perikatan Nasional, membuat kejutan dengan menyertai PKR setelah hubungannya dengan UMNO semakin renggang.
Langkah ini dilihat sebagai usaha untuk memastikan kesinambungan kerjaya politiknya di peringkat nasional.
Penyandang kerusi Parlimen Ampang, Rodziah Ismail yang sebelumnya menyokong kumpulan Rafizi Ramli dalam pemilihan PKR awal tahun ini dikatakan mungkin akan digugurkan atau dipindahkan ke kawasan lain untuk memberi laluan kepada Tengku Zafrul.
Manimaran berpendapat Ampang dipilih kerana dianggap sebagai kawasan ‘selamat’ untuk Tengku Zafrul, dengan situasi yang mirip kepada peristiwa politik sebelumnya yang membolehkan Anwar Ibrahim kembali ke Parlimen.
Beliau juga mencadangkan kemungkinan penangguhan pengisian dua portfolio kabinet sehingga PRK ‘Langkah Ampang’ selesai jika ia benar-benar berlaku.
“Jika Anwar ingin mengekalkan Tengku Zafrul dalam Kabinet, beliau mungkin tidak mempunyai pilihan lain selain mengosongkan kerusi Ampang untuk memberi laluan,” tambah Manimaran.
RM5 juta masuk akaun Bersatu, tiada satu masuk dalam akaun peribadi: Saksi
Runding kerusi parti komponen PH mesti ikut saluran rasmi: Saifuddin Nasution
Ketua Bersatu Pahang ditamatkan khidmat, didakwa sokong Hamzah
Amanah kritik cadangan PAS tangani krisis ekonomi tak realistik
Akmal bidas DAP Kota Melaka cadangkan isytihar darurat tangguh PRN
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan