Penjawat awam.
Kerajaan akan mengkaji cadangan menaikkan umur persaraan wajib penjawat awam daripada 60 kepada 65 tahun dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, kajian ini akan bermula selepas pelaksanaan RMK-13 dan dijangka selesai selepas rancangan tersebut berakhir.
Menurutnya, JPA akan membuat dapatan awal dengan meneliti umur persaraan di negara lain sebagai rujukan.
“Buat masa ini, saya tidak dapat memberi sebarang keputusan kerana kajian akan bermula dalam RMK13 dan dijangka selesai selepas rancangan itu berakhir.
“Walau bagaimanapun, JPA akan memulakan dapatan awal lebih awal dengan membuat perbandingan umur persaraan di negara lain sebagai penanda aras,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni isteri pesara Majlis Perbandaran Kota Bharu Allahyarham Kamal Ariffin Mohamed, Siti Rubiah Mohammad pada Program Santuni Pesara di Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.
Beberapa negara sudah menetapkan umur persaraan lebih tinggi berbanding Malaysia, seperti Singapura pada 62 tahun dan negara Scandinavia sehingga 70 tahun.
Malaysia juga mempunyai skim tertentu yang membenarkan umur persaraan lebih panjang, contohnya hakim yang bersara pada usia 66 tahun.
Katanya, ini bukan perkara luar biasa untuk dipertimbangkan kerajaan, namun ia memerlukan penelitian mendalam serta sesi libat urus dengan pihak berkepentingan termasuk persatuan pesara, Cuepacs dan belia.
Mengulas pandangan bahawa kenaikan umur persaraan boleh menjejaskan produktiviti, Wan Ahmad Dahlan menjelaskan kajian menyeluruh perlu dilakukan sebelum sebarang keputusan dibuat.
Beliau menegaskan ada negara lain yang tetap berjaya mengekalkan produktiviti walaupun umur persaraan mereka lebih panjang.
Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa pembentangan RMK-13 di Dewan Rakyat berkata had umur persaraan wajib akan dikaji semula sejajar dengan peralihan Malaysia menuju status negara tua.
Perkara itu terkandung dalam Prakarsa Kesembilan RMK-13 yang menekankan aspek keadilan sosial dan kesaksamaan peluang untuk rakyat.
Pada Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said juga mencadangkan kerajaan mempertimbangkan cadangan ini kerana ramai masih sihat dan mampu menyumbang pada usia 60 tahun.
Buat masa ini, umur persaraan wajib penjawat awam di Malaysia ditetapkan pada 60 tahun, iaitu sama dengan umur persaraan minimum sektor swasta di bawah Akta Umur Persaraan Minimum 2012.
MySIREN lebih pantas daripada SMS, data pengguna kekal selamat: Fahmi
MySIREN dilancar, amaran kecemasan terus ke telefon bimbit
Penempatan Rohingya: AMK persoal pengumuman Zahid
Penempatan Rohingya ke Turkiye: Zahid umum lulus, Mat Sabu kata Kabinet belum bincang
Eksport Malaysia cecah RM1.81 trilion, rekod tertinggi sejak 1990
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan