Tidak timbul soal rombak kabinet selepas pemilihan PKR: Anwar

May 22, 2025 · Politik

Pemilihan PKR kali ini adalah satu proses pertandingan dalaman parti dan tiada kaitan dengan soal rombakan kabinet, tegas Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dia yang juga Presiden PKR berkata pertandingan jawatan dalam parti itu sepatutnya menjadi proses yang mampu memperkukuh dan merangkul semua kekuatan untuk mengukuhkan parti.

“Pemilihan PKR adalah pertandingan antara sahabat-sahabat, rakan karib dan kenalan kita sendiri. Maka tidak timbul sama sekali soal berlaku perubahan kepada jemaah menteri.

“Kita tidak boleh menghalang cita-cita orang lain (untuk melepaskan jawatan atau mengisi kekosongan jawatan), dia ingat kosong (kekosongan jawatan) dia mahu isi.. itu biasa.

“Jika tanya saya, saya tidak ada sebarang rencana untuk lakukan apa-apa perubahan pada kabinet,” katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat bersama ketua-ketua pengarang media tempatan dan antarabangsa di Kompleks Seri Perdana, di Putrajaya malam ini.

Dia menjawab pertanyaan berhubung hasrat penyandang Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli yang menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatannya sebagai Menteri Ekonomi dalam Kabinet jika dia tewas dalam pemilihan parti itu.

Pemilihan PKR 2025 menyaksikan pertembungan satu lawan satu bagi jawatan Timbalan Presiden iaitu antara Rafizi dengan Nurul Izzah Anwar.

Kongres Nasional PKR 2025 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru bermula Jumaat ini dengan pengundian bagi pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita bagi sesi 2025-2028 diadakan pada hari sama bermula 8 pagi hingga 5 petang.

Mengulas lanjut, Anwar berkata ‘kehangatan’ pertandingan dalaman parti itu perlu dilihat secara positif dan tidak mencerminkan sebarang elemen ketidakstabilan politik negara.

“Apa yang berlaku ini pertandingan merebut jawatan itu adalah politik yang stabil, ada pertandingan..tak stabil jadi diktator, tiada pertandingan…kita harus lihat secara positif,” katanya.

Terdahulu, Anwar meluangkan masa lebih sejam dalam sesi taklimat itu yang disertai 83 wakil media tempatan dan antarabangsa serta menjawab pelbagai persoalan berkaitan isu semasa termasuk berhubung Sidang Kemuncak Asean yang akan berlangsung hujung minggu ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj dan Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama Saraswathi Muniappan. – Bernama

Berita berkaitan
Anwar nafi ada arahan halang masuk kawasan FELDA
13 jam lalu· Politik
Anwar ingatkan jentera PH jangan sombong hadapi pengundi Johor
15 jam lalu· Politik
Sokongan terhadap Anwar kekal tertinggi: Tinjauan Merdeka Center
19 jam lalu· Politik
Puad pertahan cadang anak jadi calon, dakwa pemilihan tidak adil
June 25, 2026· Politik
Lagi Politik terkini
SPR jual 553 borang calon menjelang hari penamaan PRN Johor
15 jam lalu · Politik
Samsuri pula sahkan rundingan kerusi dengan UMNO di Johor gagal
16 jam lalu · Politik
PAS kempen calon sendiri sahaja, tidak bantu Bersatu di Johor: Hadi
18 jam lalu · Politik
SPR keluar peringatan menjelang penamaan calon PRN Johor
18 jam lalu · Politik
Annuar sahkan rundingan PAS-UMNO, kerjasama gagal dimeterai untuk PRN Johor: Laporan
19 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
June 15, 2026
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar
June 15, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok