Mahkamah tolak permohonan Bung Moktar dan Zizie Izette, perbicaraan pada Ogos

May 22, 2025 · Isu semasa

Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin, dan isterinya, Zizie Izette Abdul Samad, gagal dalam usaha terakhir untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini memerintahkan mereka membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali hari ini sebulat suara menolak permohonan pasangan tersebut bagi mendapatkan kebenaran semakan terhadap keputusan terdahulu.

Hakim Che Mohd Ruzima yang bersidang bersama Hakim Datuk Azizul Azmi Adnan dan Datuk Ahmad Kamal Md Shahid berkata, Bung Moktar dan Zizie Izette gagal membuktikan bahawa terdapat keadaan luar biasa atau ketidakadilan yang jelas, yang boleh membenarkan semakan terhadap keputusan terdahulu.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Sesyen Rosli Ahmad telah menetapkan perbicaraan selama sembilan hari bermula 18 Ogos.

Pada 18 November 2024, panel Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum itu membebaskan Bung Moktar dan Zizie Izette, serta mengarahkan kedua-duanya untuk membela diri.

Pasangan itu memfailkan permohonan pada Mac lalu di bawah Peraturan 105 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994 atas alasan bahawa panel Mahkamah Rayuan terdahulu tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar rayuan pendakwaan, dan memohon agar panel semakan mengembalikan semula keputusan Mahkamah Tinggi.

Dalam penghakimannya, Hakim Che Mohd Ruzima berkata, Mahkamah Rayuan, selaku mahkamah tertinggi dalam kes itu sentiasa berhati-hati apabila menggunakan kuasanya untuk menyemak keputusan terdahulu kerana semakan sedemikian pada hakikatnya bercanggah dengan prinsip muktamad.

Hakim itu berkata, apabila peguam pemohon mengemukakan hujah bahawa berlaku ketidakadilan dalam kes itu, mahkamah mendapati pemohon masih mempunyai remedi alternatif.

“Perkara yang dibangkitkan di hadapan kami boleh dikemukakan dalam rayuan daripada Mahkamah Sesyen, sekiranya sabitan dikenakan kelak. Kami berpendapat syarat ambang kebenaran untuk menyemak keputusan mahkamah ini sebelum ini belum dipenuhi.

“Kami juga berpendapat perkara ini boleh dibangkitkan dengan wajar pada akhir kes pembelaan. Oleh sebab itu, kami dapati syarat ambang untuk memperoleh kebenaran menyemak keputusan mahkamah ini sebelum ini tidak dipenuhi. Oleh itu, permohonan ini ditolak,” katanya.

Dalam prosiding hari ini, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How, Mohd Fadhly Mohd Zamry dan Maziah Mohaide, manakala peguam Datuk Seri K. Kumaraendran dan M. Athimulan mewakili Bung Moktar dan Zizie Izette.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar, yang ketika itu pengerusi bukan eksekutif FELCRA Berhad, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi mendapatkan kelulusan daripada menteri kewangan II untuk FELCRA membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini, antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan serupa.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari, pada 19 Jun 2015. – Bernama

Lagi Isu semasa terkini
Kes bunuh 61 tikaman: Mangsa baharu seminggu sambung semester baharu
8 jam lalu · Isu semasa
Global Sumud Flotilla: 10 rakyat Malaysia sudah dibebaskan
9 jam lalu · Isu semasa
Kes bunuh 61 tikaman: Empat individu direman Polis Kelantan
9 jam lalu · Isu semasa
Kesan krisis bekalan global dijangka dirasai sebulan dua lagi: Tengku Zafrul
May 1, 2026 · Isu semasa
Majikan diseru lebih prihatin terhadap pekerja: PMX
May 1, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
February 13, 2026
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan
February 13, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok