Majikan diseru lebih prihatin terhadap pekerja: PMX

May 1, 2026 · Isu semasa

Anwar Ibrahim menyeru majikan di seluruh negara supaya lebih prihatin dan berihsan dalam menjaga kebajikan pekerja, selaras dengan kemajuan ekonomi yang sedang dicapai negara ketika ini.

Perdana Menteri menegaskan keamanan dan pembangunan pesat negara tidak seharusnya mengabaikan nasib golongan pekerja.

“Negara ini harus aman dan maju, tetapi mesti juga menjamin nasib pekerja terbela. Ini perkara utama,” katanya semasa Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026 hari ini.

Menurut beliau, Malaysia kini mencatatkan prestasi ekonomi yang membanggakan termasuk pertumbuhan pesat, pelaburan tertinggi dalam sejarah, kadar pengangguran rendah serta kedudukan ringgit yang kukuh di Asia.

Namun, persoalan besar timbul sama ada manfaat itu benar-benar dirasai oleh pekerja, khususnya golongan bawahan dan pertengahan.

“Banyak syarikat mencatat keuntungan berbilion ringgit, tetapi untuk menaikkan gaji pekerja walaupun sedikit pun sukar. Kita mahu pekerja berdisiplin dan produktif, tetapi adakah mereka diberi layanan yang adil?” katanya.

Beliau turut mengingatkan pekerja dalam sektor penting seperti pembersihan dan penyelenggaraan turut memainkan peranan besar dalam memastikan negara kekal bersih dan teratur.

“Cuba kita renungkan, apakah mereka ini diberikan perhatian dan keadilan secukupnya?” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kepimpinan syarikat untuk bermuhasabah dan menilai semula layanan terhadap pekerja.

Tegasnya, seruan itu bukan bertujuan membebankan syarikat sehingga menjejaskan daya saing, sebaliknya menuntut keseimbangan antara keuntungan dan kebajikan pekerja.

“Saya tidak meminta hingga syarikat rugi atau hilang daya saing, tetapi pimpinan perlu lebih prihatin dan menunjukkan ihsan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan sambutan Hari Pekerja harus menjadi peringatan kepada semua pihak tentang pentingnya menghargai sumbangan pekerja dalam pembangunan negara.

“Tanpa pekerja, tiada kejayaan yang boleh dibanggakan,” katanya.

Sebagai langkah ke hadapan, kerajaan memberi penekanan terhadap isu gaji pekerja sebagai agenda utama, termasuk usaha berterusan meningkatkan gaji minimum yang sebelum ini dinaikkan daripada RM1,200 kepada RM1,500 serta penetapan gaji minimum RM3,000 bagi syarikat berkaitan kerajaan.

Majlis tersebut turut dihadiri pemimpin kerajaan, pegawai kanan serta wakil kesatuan pekerja dan majikan.

Berita berkaitan
Isu jalan luar bandar: Zafrul sindir ada pihak guna cybertrooper Vietnam
5 jam lalu· Politik
Dana kerajaan mesti sampai kepada rakyat, bukan bocor: PMX
13 jam lalu· Isu semasa
Putrajaya lulus hampir semua projek pembangunan Kelantan: Menteri Besar
16 jam lalu· Politik
Kerajaan lulus RM250 juta siapkan KB Sentral, tambah bantuan pendidikan Islam Kelantan
October 31, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Polis siasat wanita didakwa kasari dua kanak-kanak di pusat beli-belah: Bernama
6 jam lalu · Isu semasa
Isu curi kandungan, Fahmi minta buat laporan kepada Majlis Media
6 jam lalu · Isu semasa
RM259.5 juta tunggakan projek luar bandar perlu dilunaskan: Zahid
13 jam lalu · Isu semasa
25 aduan petrol bercampur air di Perak: KPDN
15 jam lalu · Isu semasa
Sultan Selangor gering, istiadat 1 November ditunda
October 31, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
16 jam lalu
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok