Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyifatkan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Khamis lalu sebagai hadiah istimewa kepada golongan muda dan seluruh rakyat Malaysia yang terlibat dalam sektor ekonomi gig.
Dalam hantaran di Facebook, Anwar menjelaskan RUU tersebut memberikan takrifan yang lebih jelas kepada profesion industri gig, termasuk pengiktirafan formal, jaringan sosial yang kukuh, dan jaminan masa depan yang lebih cerah untuk pekerja sektor ini.
Beliau menegaskan kerajaan telah melaksanakan proses penggubalan undang-undang ini dengan cermat dan berhati-hati memandangkan ia melibatkan kehidupan jutaan rakyat Malaysia, walaupun terdapat pihak yang mendakwa kerajaan lambat dalam hal ini.
“Bersempena bulan kemerdekaan ini, saya menegaskan bahawa setiap keringat dan usaha pekerja gig adalah bermaruah, dan kalian mempunyai sumbangan yang besar kepada pengukuhan ekonomi rakyat dan negara,” kata Anwar.
Dalam rakaman video yang disertakan, Perdana Menteri juga berkata RUU ini merupakan kemenangan besar bagi pekerja gig yang sesuai dengan semangat kemerdekaan untuk membebaskan mereka daripada pelbagai tekanan.
Anwar bersyukur kerana isu berkaitan nasib pekerja gig termasuk e-hailing, penghantar makanan, dan platform digital dapat ditangani secara menyeluruh melalui undang-undang ini.
Dalam pada itu, Anwar juga menolak tohmahan beberapa pihak yang mendakwa RUU ini tidak menguntungkan dengan menjelaskan bahawa pekerja gig kini akan menikmati keselamatan sosial, cuti, caruman PERKESO, dan perlindungan insurans yang belum pernah difikirkan oleh mereka yang menentang.
RUU Pekerja Gig 2025 ini memperuntukkan garis panduan khusus untuk melindungi pekerja gig sambil menyeimbangkan kepentingan syarikat penyedia platform digital.
Undang-undang baru ini juga menetapkan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia sebagai badan kawal selia bebas untuk memastikan penguatkuasaan yang efektif dan melindungi hak semua pihak yang terlibat dalam industri gig.
Tiga pelakon ditahan susulan video tular persenda Rukun Negara
53 ditahan dalam Op Pedo 3.0, guru dan pembantu makmal antara suspek
Kes scam: Panik kena dakwa, wanita jual barang kemas RM500,000
1MDB mohon izin rayu keputusan libat firma guaman UK
Lawatan Anwar ke Shanghai perkukuh hubungan Malaysia-China
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum