Ketua Audit Negara, Wan Suraya Wan Mohd Radzi.
Prestasi kewangan Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2024 menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan dengan penurunan ketara dalam defisit serta nisbah defisit berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, defisit kerajaan telah menyusut sebanyak RM12.224 bilion kepada RM79.166 bilion berbanding RM91.390 bilion pada tahun 2023.
“Nisbah defisit kepada KDNK turut berkurang kepada 4.1 peratus, berbanding lima peratus pada 2023 dan lebih baik daripada sasaran 4.3 peratus yang ditetapkan dalam Belanjawan 2024,” kata Ketua Audit Negara, Wan Suraya Wan Mohd Radzi.
“Pencapaian ini meletakkan asas kukuh untuk mencapai sasaran defisit jangka sederhana di bawah tiga peratus,” tambahnya.
Wan Suraya juga mengesahkan penyata kewangan Kerajaan Persekutuan bagi tahun berakhir 31 Disember 2024 memberikan gambaran yang benar dan saksama.
“Rekod perakaunannya sudah diselenggarakan dengan teratur dan kemas kini. Ketua Audit Negara sudah memberikan pendapat tanpa teguran dengan perenggan hal-hal lain,” jelasnya.
Walau bagaimanapun, laporan tersebut turut menyentuh beberapa isu, termasuk kelewatan dalam Projek Pangkalan Operasi Hadapan di Pulau Mabul, Sabah, yang masih belum siap meskipun dirancang sejak 2016.
Di samping itu, Jabatan Audit Negara telah memperluas skop auditnya mulai tahun ini dengan melaksanakan sistem e-SelfAudit bagi 1,856 badan lain termasuk syarikat kerajaan.
“Pengauditan sistem e-SelfAudit mengadaptasi penggunaan pendigitalan dan teknologi terkini bagi membolehkan semua syarikat diaudit setiap tahun,” ujar Wan Suraya.
Daripada 13 penyata kewangan kerajaan negeri yang diaudit, empat negeri iaitu Melaka, Pahang, Pulau Pinang dan Terengganu menerima Pendapat Tanpa Teguran, manakala sembilan negeri lain mendapat Pendapat Tanpa Teguran dengan Perenggan Hal-hal Lain.
Gempa Batu Pahat, gegaran dirasai di enam kawasan sehingga ke Putrajaya
Anwar sampaikan keresahan keluarga mangsa masih hilang kepada PM Nepal: Bernama
Tiga pelakon ditahan susulan video tular persenda Rukun Negara
53 ditahan dalam Op Pedo 3.0, guru dan pembantu makmal antara suspek
Kes scam: Panik kena dakwa, wanita jual barang kemas RM500,000
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum