Hukuman rotan.
Anwar Ibrahim menyatakan persetujuan beliau terhadap cadangan mengembalikan hukuman rotan di sekolah, namun menegaskan pelaksanaannya perlu disertai garis panduan yang ketat bagi mengelak sebarang bentuk penderaan terhadap pelajar.
Menurut Perdana Menteri, hukuman rotan bukanlah bertujuan untuk menyakiti murid, sebaliknya sebagai langkah mendidik dan mendisiplinkan mereka dalam batas yang wajar.
“Pandangan peribadi saya, hukuman rotan harus dikembalikan. Namun bukan diberi kelonggaran sepenuhnya. Rotan mungkin dilakukan di tangan, bukan di hadapan umum,” katanya ketika menjawab soalan pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar turut berkongsi pengalamannya ketika mendisiplinkan pelajar suatu ketika dahulu.
“Saya pernah jadi guru, dan saya ingat puluhan anak-anak saya dah rotan. Tapi di tangan, tentunya tidak teruk sangat, sehingga nampak seperti penderaan,” ujarnya lagi.
Isu disiplin di sekolah kembali mendapat perhatian umum susulan peningkatan kes buli dan pergaduhan dalam kalangan pelajar yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini.
Statistik Kementerian Pendidikan menunjukkan peningkatan aduan berkaitan kes buli fizikal dan siber, mencerminkan kebimbangan terhadap tahap moral dan disiplin pelajar.
Pelbagai pihak, termasuk guru dan ibu bapa, menyuarakan pandangan agar hukuman tegas dikembalikan bagi membendung gejala sosial yang semakin membimbangkan. Namun, ada juga yang menegaskan keperluan mengutamakan pendekatan pendidikan dan kaunseling supaya pelajar memahami kesan perbuatan mereka.
Dalam konteks ini, pandangan Anwar dilihat sebagai usaha mencari keseimbangan antara disiplin dan kebajikan pelajar.
Perbahasan mengenai hukuman rotan dijangka berterusan dengan pelbagai pihak menilai keberkesanan serta implikasinya terhadap perkembangan emosi pelajar.
Kerajaan kini berdepan cabaran besar dalam mencari pendekatan terbaik bagi memulihkan budaya hormat dan disiplin di sekolah tanpa menjejaskan kesejahteraan pelajar.
Usahawan hartanah mengaku tidak bersalah dalam kes gaduh yang tular
Timor-Leste akan dianggap rakan baharu ASEAN yang berkesan, tak dipinggir: PMX
Perjanjian Perdagangan Timbal Balik dengan AS boleh jejas kedaulatan ekonomi: Azmin
Malaysia tonjol ‘super weapon’ sendiri, kehalusan seni diplomatik: Fahmi
Cadangan Hari Muzik Negara akan dibawa ke Kabinet: Fahmi
[VIDEO] Langkah perangi scam dan buli siber diperhebat, buru pesalah
[VIDEO] Selepas dipecat Bersatu jadi dalang SD, Wan Saiful anggap dirinya jadi mangsa