Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Damai KL antara Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan di Kuala Lumpur, hari ini.
Satu lembaran baharu hubungan dua hala terbuka apabila Thailand dan Kemboja hari ini secara rasmi menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur, sekaligus menamatkan pertikaian sempadan dan memulakan babak pemulihan keamanan muktamad.
Perjanjian bersejarah itu ditandatangani oleh Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, dan rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet, dalam satu majlis penuh bersejarah.
Pemeteraian itu disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, selaku Pengerusi ASEAN, dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang turut hadir bagi memberi sokongan terhadap kejayaan diplomasi serantau ini.
Kejayaan ini merupakan kesinambungan daripada inisiatif damai yang dimulakan oleh Malaysia.
Perjanjian ini mengukuhkan lagi persetujuan gencatan senjata yang telah dicapai pada Julai lalu, hasil daripada rundingan intensif yang dipelopori oleh Malaysia.
Ia berjaya menghalang konflik ketenteraan daripada merebak dan menjamin keselamatan ribuan penduduk awam di sepanjang sempadan sepanjang 817 kilometer yang menjadi rebutan.
Sebelum ini, ketegangan sempadan memuncak pada 24 Julai lalu yang hampir-hampir mencetuskan konfrontasi ketenteraan yang lebih besar.
Langkah damai mula menemui jalan apabila Anwar menganjurkan mesyuarat penting di Putrajaya pada 28 Julai lalu antara pemimpin kedua-dua negara, yang berjaya meredakan ketegangan dengan ketara.
Perjanjian damai ini, yang dianggap sebagai satu pencapaian besar bagi ASEAN, bukan sahaja menandakan penamatan permusuhan tetapi juga komitmen kedua-dua negara untuk menyelesaikan isu persempadanan secara aman.
Kejayaan ini diperkukuh lagi dengan pengunduran senjata berat dan pemusnahan bahan letupan di kawasan sempadan seperti yang dipersetujui.
Dengan termeterainya perjanjian ini, ASEAN sekali lagi membuktikan keupayaannya sebagai pemangkin keamanan dan kestabilan serantau, sekaligus melonjakkan reputasi Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.
RTM mohon maaf sebut salah nama Presiden Indonesia
Bantahan terhadap Trump bergema di Dataran Merdeka
Kemasukan Timor-Leste sebagai ahli ASEAN ke-11, langkah bersejarah untuk serantau
Trump tiba di Malaysia, naik ‘The Beast’ bersama Anwar
Rakyat Malaysia berkunjung ke Timor-Leste boleh guna khidmat 4G disedia syarikat tempatan
[VIDEO] Langkah perangi scam dan buli siber diperhebat, buru pesalah
[VIDEO] Selepas dipecat Bersatu jadi dalang SD, Wan Saiful anggap dirinya jadi mangsa