Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Kerajaan akan melaksanakan pelbagai inisiatif bantuan kewangan bernilai hampir RM20 bilion bagi menangani isu jurang pendapatan dan kemiskinan tegar di negara ini.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, mengumumkan sebahagian besar peruntukan besar itu disalurkan melalui inisiatif seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang mencecah RM15 bilion, diikuti dengan bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM3.1 bilion.
Beliau menekankan langkah ini, ditambah dengan pelaksanaan dasar gaji minimum yang dinaikkan kepada RM1,700, adalah bertujuan untuk mengurangkan kemiskinan relatif dan merapatkan jurang ekonomi.
“Jadi ini sekali lagi saya tegaskan untuk mengurangkan kesenjangan yang kian melebar antara golongan kaya dan miskin.
“Itu yang kita lakukan dan saya harap ada upaya lagi (dari kerajaan) untuk meningkatkan (bantuan kewangan) sebaik saja keadaan ekonomi lebih meyakinkan,” jelas Anwar semasa sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas mengenai kemajuan menangani isu kemiskinan, beliau menyatakan bahawa kadar kemiskinan tegar menunjukkan tren menggalakkan dan dianggarkan sekitar 0.09 peratus pada masa ini.
Anwar turut menegaskan kejayaan ini adalah hasil usaha kolektif dan bukan semata-mata sumbangan kerajaan pusat.
“Kalau tinggal 0.09 peratus, itu kemiskinan tegar. Itu umpamanya angka awal tahun. Sekarang jumlah yang tersenarai semua diselesaikan bukan oleh Kerajaan Persekutuan saja, ada kerjasama kerajaan negeri dan majlis agama Islam negeri,” ujarnya.
Beliau yakin dengan keupayaan sedia ada, isu kemiskinan tegar dapat ditangani secara berkesan, sambil merujuk kepada data eKasih yang menunjukkan pengurangan bilangan isi rumah miskin tegar.
Ekonomi Malaysia dijangka tumbuh 5.7 peratus tahun ini: Firma
Bekas COO Tabung Haji didakwa terima kos ubah suai RM302,499: Bernama
Malaysia terus terbuka pelaburan teknologi China: Anwar
Eksploitasi seksual kanak-kanak: MCMC, PDRM tingkat kerjasama
JPJ nafi hantaran tular berkait lesen kepada Rohingya, buat laporan MCMC: Bernama
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum