Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
Sistem pendidikan negara didakwa gagal dalam membentuk jiwa dan nilai kemanusiaan, sehingga menyumbang kepada pelbagai peristiwa hitam yang melanda sekolah kebelakangan ini.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, menyifatkan situasi ini sebagai satu krisis yang tidak sepatutnya dipolitikkan dan memerlukan kerjasama semua pihak bagi melakukan reformasi dalam sistem pendidikan negara.
Baginda menegaskan sekolah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk kanak-kanak, kini mendedahkan mereka kepada ancaman dari segi fizikal dan emosi.
“Secara jujur dan ikhlas, kita hendaklah berani mengakui sel barah yang telah tumbuh membesar hingga ke tahap kritikal,” titah baginda semasa merasmikan Sambutan Bulan Integriti Nasional 2025.
Menurut Sultan Nazrin, kegagalan sistem mungkin berpunca daripada kealpaan lama yang terlalu mengejar kecemerlangan akademik.
“Matlamat suci sebenar pendidikan mungkin telah lama kita alpakan kerana terlalu taksub memberi fokus untuk mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) berbentuk kuantitatif, pada harga mengorbankan komponen kualitatif,” ujar baginda.
Baginda turut membangkitkan kemerosotan integriti dalam kalangan belia, termasuk kesediaan untuk menerima rasuah, serta insiden buli yang tidak ditangani secara menyeluruh.
“Anak-anak dilatih menjawab soalan secara mekanikal, tetapi adakah mereka tahu menghormati perasaan orang lain?” persoal baginda.
Sultan Nazrin menekankan pendidikan bukan sekadar melahirkan pelajar yang pandai, tetapi yang berakhlak, berjiwa dan beradab.
Baginda menyeru agar integriti disemai dari rumah, diperkukuh di sekolah, dan dicontohi melalui kepimpinan.
“Ibu bapa berperanan paling utama menyemai benih integriti dalam jiwa anak-anak kerana rumah ialah madrasah pertama seorang insan,” titah baginda mengingatkan semua pihak.
Penipuan dalam talian: Selangor catat kerugian tertinggi
Kewangan Islam dijangka kuasai lebih 50 peratus aset negara: Gabenor
RM15 juta dana kreatif dibuka 16 November: Fahmi
Anugerah Seri Angkasa iktiraf sumbangan warga penyiaran: Fahmi
JPN sudah keluarkan 275,785 MyKad baharu, Johor rekod tertinggi
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum