Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Kerajaan Persekutuan tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan pemberian khas 40 peratus hasil bersih Sabah, tetapi akan memohon agar bahagian alasan penghakiman yang menyatakan tindakan kerajaan sejak 1974 sebagai tidak berperlembagaan dipadamkan.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menjelaskan berhubung rayuan yang akan difailkan hanya akan menumpukan pada alasan penghakiman yang mendakwa kajian semula pemberian khas selepas 2021 adalah menyalahi undang-undang dan tidak rasional.
Ujarnya, alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu adalah satu keputusan yang sangat serius kerana ia seolah-olah mendakwa semua kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan semua perdana menteri dari Tun Abdul Razak sehingga sekarang, serta semua kerajaan negeri Sabah dan Ahli Parlimen yang terlibat sejak 1974, telah bertindak di luar batas perlembagaan.
“Ini satu keputusan yang sangat serius, sebab itu saya harap Ahli Parlimen baca alasan penghakiman kerana ini berbeza.
“Saya tak mahu ini jadi polemik dalam isu 40 peratus,” tegas Anwar semasa sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Anwar, isu berhubung rayuan tersebut mencetuskan kekeliruan banyak pihak dan perlu diperbetulkan bagi mengelak sebarang salah faham terhadap langkah yang sedang diambil pihak kerajaan.
“Apakah kerajaan boleh berdiam bila kita (dituduh) bertindak ‘unconstitutional’ (tidak berperlembagaan) sejak 1974…. apakah kita boleh berdiam tanpa membatalkan rekod yang mengatakan terlanjur, tidak rasional, terdapat ketidakaturan dari segi prosedur serta tidak berkadaran,” katanya lagi.
Anwar menjelaskan ketegasan beliau dalam perkara ini berpunca daripada sifat penghakiman yang belum pernah berlaku sebelum ini.
“Ini belum pernah berlaku keputusan (dibuat) mahkamah sebegitu keras dan melibatkan seluruh kerajaan sejak 1974,* ujarnya.
Beliau mengulangi komitmen kerajaannya untuk menghormati hak 40 peratus hasil Sabah seperti yang termaktub, sambil menekankan keperluan untuk membetulkan tanggapan negatif terhadap integriti semua kerajaan yang terdahulu seperti yang tercatat dalam alasan penghakiman mahkamah.
Anwar juga menjelaskan status kerajaan Sabah sebagai caretaker’ atau kerajaan sementara ketika ini tidak menghalang rundingan berkaitan Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil diperoleh dari wilayah itu.
Beliau turut memaklumkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican sudah mengutus surat kepada Setiausaha Kerajaan Sabah, Safar Utong berhubung perihal teknikal dan perkara berbangkit, sementara menunggu pembentukan kerajaan negeri yang baharu seusai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kelak.
“Kerajaan Persekutuan tidak mahu dianggap melengah-lengahkan (rundingan). Proses ini sudah berjalan.
“Sekarang sekurang-kurangnya Johan (sudah) menulis kepada Safar, mengatakan boleh mula runding soal teknikal termasuk perkara yang disebut dalam penghakiman.
“Kemudian dalam jawatankuasa teknikal tentunya dibincangkan untuk rujuk kepada Menteri Kewangan, Ketua Menteri dan Jemaah Menteri, tentunya tunggu sehingga selesai PRN dan kerajaan baharu dibentuk.
“Namun, saya tidak fikir ia (PRN Sabah) menghalang perbincangan teknikal terlebih dahulu untuk memudahkan perundingan,” katanya pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai status rundingan perkara itu memandangkan Sabah ketika ini sedang berdepan PRN.
Isa Samad kekal dipenjara, mahkamah tolak permohonan semakan
Kerajaan masih perhalusi cadangan tangani isu Rohingya
‘Kesejahteraan Dinikmati’ jadi tema sambutan Hari Kebangsaan: Fahmi
226 pegawai SPRM dikenakan tindakan tatatertib sejak 2021
Malaysia terus kukuh antara negara paling aman dunia
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar