Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.
Perjanjian yang dimeterai oleh Malaysia dengan mana-mana negara lain tidak akan menjejaskan atau melemahkan hubungan dua hala yang kukuh dengan China, kata Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata hubungan Malaysia dengan China kekal utuh, strategik dan berpandangan ke hadapan.
“Saya ingin menegaskan kepada Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing, supaya tidak usah bimbang mengenai sebarang perjanjian yang dimeterai dengan mana-mana negara.
“Hubungan Malaysia dengan China kekal utuh. Ini kerana apabila ASEAN dan China berkembang secara bersama, manfaatnya akan dinikmati oleh semua pihak,” katanya semasa berucap pada Sidang Kemuncak Global Ekonomi dan Teknologi (GCET) 2025.
Menurut Ahmad Zahid, kerjasama antara ASEAN dan China di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0 terus menunjukkan momentum ekonomi yang kukuh.
Perdagangan antara ASEAN dan China dilaporkan melonjak kepada AS$982 bilion pada 2024, berbanding hanya AS$192.5 bilion pada 2008.
“Hubungan dua hala Malaysia-China pula berkembang antara lima hingga tujuh peratus pada awal 2025 dan dijangka melepasi RM200 bilion menjelang Mei ini,” jelasnya lagi.
Ahmad Zahid turut menekankan kepentingan kerjasama dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), peningkatan kemahiran digital serta inovasi hijau untuk melengkapkan belia dengan keupayaan yang diperlukan industri masa depan.
“Kita perlu mengakui hakikat bahawa China juga berkembang pesat ke arah kecerdasan buatan, robotik, automasi serta pendidikan teknikal. Malaysia perlu menimba, melaksanakan serta menjadi pembangun bersama,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata kejayaan kerjasama industri halal antara kedua-dua negara, yang dibuktikan dengan kejayaan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2025 di Shanghai (MIHAS@Shanghai) baru-baru ini.
“Jualan mencecah RM3.2 bilion dalam tempoh lima hari, jauh mengatasi sasaran awal RM2.5 bilion. Ini merupakan satu pencapaian yang luar biasa,” ujarnya.
Ahmad Zahid berkata telah mengarahkan MATRADE untuk menyertai Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) setiap tahun bagi membolehkan lebih banyak syarikat Malaysia mempromosikan produk halal mereka secara langsung di China.
GCET 2025 yang dianjurkan oleh Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik, menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan untuk membincangkan trend utama dalam ekonomi dan teknologi global.
1MDB mohon izin rayu keputusan libat firma guaman UK
MCMC siasat video pementasan 2018 yang kembali tular
Gaji rakyat Malaysia naik kepada RM3,803 pada 2025
Kes scam: Pesara guru rugi RM15,000 ditipu sindiket menyamar pegawai polis
Skandal FELDA: Laporan awal mula didedah minggu depan
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum