Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing.
Tiong King Sing menyokong cadangan pengenaan caj kenderaan untuk akses ke Genting Highlands dengan menegaskan bahawa langkah itu adalah perlu bagi menampung kos penyelenggaraan jalan yang tinggi.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu menjelaskan jalan menuju ke Genting Highlands adalah laluan persendirian yang diselenggara sepenuhnya oleh Genting Malaysia Berhad, dan kutipan caj dilihat sebagai pendekatan penyelesaian yang mampan.
“Seperti yang diketahui, ia adalah jalan persendirian. Semua kerja penyelenggaraan telah dilakukan oleh Kumpulan Genting Berhad.
“Untuk kelestarian, saya fikir tiada pilihan lain selain melaksanakannya,” katanya selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Resorts World Genting (RWG) dan Tourism Malaysia hari ini.
King Sing berkata konsep ‘pengguna bayar’ adalah wajar memandangkan beban penyelenggaraan tidak sepatutnya ditanggung oleh Genting sahaja, lebih-lebih lagi dengan peningkatan pembangunan dan jumlah kenderaan, termasuk lori berat, di kawasan tersebut.
“Saya telah melawat semua tapak Genting dan perkara paling penting ialah caj mesti adil.
“Pastikan ia tidak menjadikan laluan ini seperti entiti awam sepenuhnya. Saya beritahu mereka perkara paling penting ialah kos yang terlibat. Berapa banyak kosnya? Jika dinaikkan, berapa kadar yang akan dikenakan? Semua ini kerana mereka perlu menyelenggara jalan tersebut,” jelasnya.
Beliau turut memuji kecekapan Genting Malaysia Berhad dalam memastikan jalan tersebut sentiasa dalam keadaan baik.
Beliau yakin langkah itu akan memastikan kelancaran dan keselamatan akses ke Genting Highlands untuk semua pengguna pada masa hadapan.
Pengesahan had umur: MCMC boleh kenakan denda RM10 juta kepada platform media sosial
Selepas 20 Tahun di Brunei, MP Miri bantu bapa empat anak kembali bina hidup baharu
Pengawal keselamatan dipenjara, didenda RM50,000 hina Agong di Facebook
Mahkamah sekat Papagomo sebar kandungan didakwa memudaratkan
Pelaburan palsu punca kerugian tertinggi penipuan dalam talian
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar