Keputusan semakan Titah Adendum Najib akan diputuskan 5 Januari tahun depan

November 24, 2025 · Politik

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 5 Januari tahun hadapan untuk mengumumkan keputusan berhubung permohonan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri, Najib Razak, yang menuntut pelaksanaan Titah Adendum membenarkannya menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching, menetapkan tarikh tersebut setelah selesai mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak.

“Saya rasa saya patut mengambil cuti Krismas untuk berfikir dan mempertimbangkannya dengan lebih mendalam,” katanya dipetik laporan media.

Permohonan itu difailkan bagi meminta kerajaan dan enam pihak lain untuk mengesahkan kewujudan titah berkenaan, yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, supaya Najib dipindahkan dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur.

Peguam Najib,Muhammad Shafee Abdullah, berhujah pihaknya telah membuktikan kewujudan dan kesahan Titah Adendum itu.

Beliau juga mendakwa Jabatan Peguam Negara mempunyai “sejarah penafian” berhubung titah tersebut.

“Sudah lebih setahun (sejak Titah Adendum itu dikeluarkan), dan ia masih tidak dikuatkuasakan. Anak guam saya sepatutnya berada di bawah tahanan rumah sekarang. Keadilan sudah selesai, kini yang tinggal hanyalah belas kasihan,” kata Muhammad Shafee.

Sebaliknya, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, yang mewakili kerajaan dan responden-responden lain, menegaskan titah itu tidak pernah dibangkitkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 8 Disember 2023.

Beliau menekankan tiada sebarang perbincangan mengenai tahanan rumah dalam mesyuarat tersebut, dan titah itu tidak dibuat mengikut kerangka prosedur yang ditetapkan oleh Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh kerana titah itu tidak diputuskan dalam mesyuarat lembaga dan pengeluarannya di luar kerangka prosedur yang dikehendaki, ini menimbulkan persoalan mengenai kesahihannya,” jelas Shamsul.

Beliau menambah Lembaga Pengampunan tidak dapat memberi nasihat seperti yang diwajibkan, dan oleh itu, Titah Adendum itu tidak boleh dikuatkuasakan dari segi undang-undang.

Najib Razak sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, setelah disabitkan kesalahan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Hukuman penjaranya telah dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun oleh Lembaga Pengampunan, manakala dendanya dikurangkan kepada RM50 juta.

Berita berkaitan
Akaun TikTok Na’im disekat TikTok, bukan MCMC: Hakim Norliza
September 22, 2026· Politik
Anwar imbau detik di Penjara Sungai Buloh
2 jam lalu· Politik
1MDB mohon izin rayu keputusan libat firma guaman UK
21 jam lalu· Isu semasa
Ahli PAS digesa utamakan dana kompleks parti, bukan tabung Najib: Iskandar
September 21, 2026· Politik
Lagi Politik terkini
Hassan saran Anwar kekalkan Loke dalam Kabinet, tolak peletakan jawatan
September 22, 2026 · Politik
DUN Melaka sah bubar esok, PRN bakal diadakan: Ab Rauf
September 22, 2026 · Politik
Pembatalan lantikan Exco Negeri Sembilan sah, ada asas Perlembagaan: Peguam
September 22, 2026 · Politik
DUN Melaka dijangka bubar hari ini, PRN semakin hampir
2 jam lalu · Politik
Zahid nafi dititah menghadap Tuanku Muhriz
3 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok