Ketua Penerangan Warisan, Mohd Azis Jamman.
Warisan membangkitkan kebimbangan serius mengenai layanan berbeza dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang didakwa mengamalkan dua layanan berbeza terhadap pihak kerajaan dan pembangkang.
Ketua Penerangan Warisan, Azis Jamman berkata keyakinan awam terhadap penguatkuasaan undang-undang semakin terhakis ekoran wujudnya persepsi tindakan terpilih ini.
Azis membangkitkan perbezaan ketara dalam siasatan melibatkan dua bekas pemimpin.
“Dalam kes bekas Perdana Menteri, beliau tidak direman atau dipakaikan baju oren SPRM walaupun dilaporkan melibatkan ratusan juta ringgit.
“Sebaliknya, dalam kes Datuk Seri Shafie Apdal, di mana tiada wang ditemui dan tiada bukti salah laku, beliau direman lebih seminggu, dipaksa tidur di lantai lokap dan dipakaikan baju oren,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau memberi amaran kepercayaan terhadap institusi semakin merosot apabila rakyat melihat dua standard yang berlainan diamalkan.
“Layanan yang berbeza itu sahaja sudah menimbulkan persoalan serius tentang keadilan dan konsistensi,” ujarnya.
Beliau turut mempersoalkan perkembangan siasatan di Sabah, yang didakwa ‘senyap’ ketika pilihan raya negeri berlangsung.
“Hanya dua individu dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) didakwa setakat ini, sedangkan beberapa tokoh lain yang dirakam dan mengaku menerima wang daripada Albert Tei masih belum didakwa.
“Adakah mereka dilindungi kerana memegang jawatan penting atau berguna secara politik?” soal Azis.
Mengulas video terbaharu Albert Tei yang melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, Azis menegaskan beliau perlu menarik diri daripada semua siasatan.
“Demi kredibiliti, Azam Baki mesti menarik diri daripada semua siasatan berkaitan kes mineral Sabah. Persepsi awam terhadap berat sebelah hanya akan menjadi lebih teruk jika individu yang turut dikaitkan terus menyelia siasatan ini,” ujarnya.
Azis juga menggesa kerajaan untuk bertindak konsisten dan telus dalam isu siasatan kes rasuah tanpa mengira latar belakang dan memilih bulu.
“Kerajaan perlu menegakkan ketelusan dan memastikan layanan sama rata untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kecenderungan politik. Hanya dengan cara itu keyakinan terhadap institusi negara dapat dipulihkan,” katanya.
Krisis Negeri Sembilan isyarat jelas UMNO mahu bertanding solo PRU-16: Rafizi
Spekulasi ADUN UMNO kembali jadi Exco disangkal Jalaluddin
Amirudin enggan layan desakan pecat Exco UMNO di Selangor
Kerajaan Negeri Sembilan berjalan seperti biasa, isu adat tak dicampuri: Fahmi
Kamil nafi beri layanan seperti ‘lembu’ didakwa Akmal
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan