Kes mahkamah.
Mahkamah Rayuan Paris membatalkan sepenuhnya Award Akhir berjumlah AS$14.9 bilion yang sebelum ini dikeluarkan penimbang tara, Gonzalo Stampa, dalam kes tuntutan kumpulan yang mendakwa sebagai waris Sulu.
Dalam keputusan terbaharu itu, mahkamah turut mengarahkan pihak penuntut membayar kos perbicaraan sebanyak EUR200,000 (RM957,140) kepada Malaysia.
Sekretariat Khas Bilik Gerakan Sulu memaklumkan keputusan tersebut diterima kerajaan Malaysia malam tadi dan menyifatkannya sebagai kemenangan penting.
Sekretariat itu berkata mahkamah memutuskan Stampa tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan Award Akhir berkenaan kerana tiada perjanjian timbang tara yang sah dan mengikat Malaysia.
“Malaysia percaya kemenangan ini akan menamatkan semua cubaan tidak berasas oleh pihak yang mendakwa sebagai penuntut Sulu dan penaja litigasi mereka untuk memeras wang serta aset daripada rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu.
“Walau bagaimanapun, Malaysia kekal bersedia untuk mempertahankan kedudukannya di mana-mana mahkamah sekiranya tuntutan ini diteruskan,” tambahnya.
Sebelum ini, pada 6 Jun 2023, Mahkamah Rayuan Paris juga telah menolak pengiktirafan serta penguatkuasaan Award Separa yang kononnya dikeluarkan pada 25 Mei 2020.
Pada 6 November 2024 pula, Mahkamah Agung Perancis menolak cabaran difailkan pihak yang mendakwa sebagai waris Sulu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan Paris.
Sekretariat itu menegaskan kerajaan Malaysia terus komited mempertahankan kedaulatan, kekebalan dan kepentingan nasional daripada tuntutan yang dianggap tidak berasas.
Di Sepanyol, Mahkamah Agung negara itu pada 16 Oktober lalu menolak rayuan Stampa dan mengekalkan sabitan atas kesalahan menghina mahkamah, sekali gus menamatkan prosiding jenayah terhadapnya.
Sebelum itu, Mahkamah Jenayah Madrid pada 22 Disember 2023 telah menjatuhkan sabitan serupa berkaitan tindakan Stampa dalam kes ini.
Stampa pada asalnya dilantik sebagai penimbang tara oleh sebuah mahkamah di Madrid pada Mac 2019, sebelum pelantikannya dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Keadilan Madrid pada 2021, sekali gus menjadikan keseluruhan proses timbang tara itu tidak sah.
Kerajaan cadang wajibkan pengiklan dalam media sosial sahkan identiti, elak scam
Kerajaan kaji semula perbelanjaan susulan krisis global: Akmal Nasrullah
Anwar ajak rakyat tolak kebencian sempena Hari Wesak
Anwar umum kenaikkan Geran Interim kepada Sabah RM1.5 Bilion
Amanah Selangor bidas Liu berhubung isu ladang babi
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi