Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru bagi membincangkan usaha membanteras rasuah yang didakwa semakin menular dalam kalangan golongan atasan negara.
Anwar berkata pertemuan tersebut memberi tumpuan khusus kepada langkah tegas yang telah dan sedang diambil kerajaan terhadap kes rasuah berprofil tinggi, selari dengan komitmen Kerajaan Madani untuk memperkukuh tadbir urus dan integriti pentadbiran.
“Saya menghadap Yang di-Pertuan Agong dan antara perkara utama dibincangkan ialah tindakan tegas kebelakangan ini terhadap kes rasuah yang berlaku di peringkat atasan,” katanya semasa sidang media di Putrajaya pada Selasa.
Menurut beliau, walaupun kerajaan meletakkan usaha membanteras rasuah sebagai teras utama pentadbiran, masih wujud segelintir pihak yang terperangkap dengan budaya lama yang merosakkan sistem dan kepercayaan rakyat.
“Meskipun kerajaan menegaskan isu tata kelola, integriti dan usaha membanteras rasuah sebagai dasar utama, masih ada saki baki yang terikat dengan pola budaya lama yang bobrok,” katanya.
Anwar turut memaklumkan telah menyampaikan perkembangan terkini siasatan oleh badan penguat kuasa kepada Baginda, sambil menegaskan kerajaan tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan atau ugutan.
“Kita tidak akan bertolak ansur, tidak akan menerima ugutan daripada mana-mana pihak. Kita akan berdepan isu ini dengan tegas, sama ada melibatkan kawan atau lawan,” tegasnya.
Beliau mendedahkan beberapa tindakan telah diambil termasuk yang melibatkan peringkat pentadbiran tertinggi, termasuk di Pejabat Perdana Menteri, selain merangkumi ahli parti komponen Kerajaan Perpaduan, pihak pembangkang, kepimpinan angkatan tentera dan penjawat awam.
Sebagai Menteri Kewangan, Anwar berkata langkah tegas ini penting bagi memastikan dana negara diurus dengan betul dan digunakan sewajarnya demi membela nasib rakyat.
“Kita bertanggungjawab menyelamatkan negara dan memastikan setiap sen dibelanjakan untuk kepentingan rakyat, bukan disalah guna oleh segelintir pihak,” katanya.
Kerajaan susun semula perbelanjaan, perkhidmatan rakyat tidak terjejas: MOF
Kos harga tenaga dijangka melonjak susulan krisis di Asia Barat: Bank Dunia
Peniaga lesap RM610,000 terjerat pelaburan palsu
AGC tolak permohonan Namewee, kes dadah diteruskan: Laporan
Krisis politik Negeri Sembilan: Persatuan peniaga bimbang ekonomi negeri terjejas
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan