Kos harga tenaga dijangka melonjak susulan krisis di Asia Barat: Bank Dunia

April 29, 2026 · Isu semasa

Harga tenaga global diramal meningkat mendadak tahun ini, mencapai paras tertinggi dalam tempoh empat tahun, menurut laporan terbaharu Bank Dunia yang memberi amaran kesan rantaian terhadap ekonomi dunia.

Dalam laporan ‘Commodity Markets Outlook’, Bank Dunia menjangkakan harga tenaga melonjak sekitar 24 peratus, dipacu konflik berterusan di Asia Barat yang menggugat kestabilan pasaran komoditi global.

Kenaikan ini dijangka turut mendorong peningkatan keseluruhan harga komoditi sebanyak 16 peratus menjelang 2026.

Menurut laporan itu, gangguan terhadap infrastruktur tenaga serta laluan penghantaran utama seperti Selat Hormuz yang mengendalikan kira-kira 35 peratus perdagangan minyak mentah dunia melalui laut telah mencetuskan antara kejutan bekalan minyak terbesar dalam sejarah moden.

Harga minyak mentah Brent pula diunjurkan meningkat kepada purata AS$86 setong pada 2026 berbanding AS$69 pada tahun sebelumnya, dengan andaian keadaan mula stabil secara berperingkat menjelang akhir tempoh tersebut.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia, Indermit Gill, berkata kesan konflik tidak terhenti pada sektor tenaga sahaja. “

Perang ini menjejaskan ekonomi global secara berperingkat bermula dengan kenaikan harga tenaga, diikuti harga makanan dan akhirnya mendorong inflasi serta kadar faedah lebih tinggi,” katanya.

Beliau menambah, negara membangun dan golongan berpendapatan rendah akan menerima tekanan paling besar, khususnya mereka yang sudah dibebani hutang tinggi.

Selain tenaga, harga baja dijangka meningkat sehingga 31 peratus, termasuk lonjakan ketara harga urea.

Keadaan ini boleh menjejaskan pengeluaran pertanian serta meningkatkan risiko ketidakjaminan makanan global.

Program Makanan Dunia menganggarkan sehingga 45 juta lagi penduduk berisiko menghadapi krisis makanan akut tahun ini.

Laporan itu turut meramalkan harga logam asas seperti aluminium, tembaga dan timah akan mencatat paras tertinggi baharu, manakala logam berharga boleh meningkat sehingga 42 peratus berikutan permintaan terhadap aset selamat dalam suasana ketidaktentuan geopolitik.

Pasaran tenaga global telah berdepan tekanan sejak konflik Rusia-Ukraine pada 2022, yang menyebabkan lonjakan harga minyak dan gas.

Krisis terbaharu ini dilihat mengulangi corak sama, sekali gus menambah tekanan kepada ekonomi dunia yang masih dalam proses pemulihan.

Timbalan Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia, Ayhan Kose, mengingatkan ruang fiskal banyak negara kini semakin terhad.

“Kerajaan perlu menumpukan bantuan bersasar kepada golongan paling terjejas, bukannya langkah menyeluruh yang membebankan kewangan negara,” katanya.

Bank Dunia turut memberi amaran bahawa jika konflik semakin memuncak, harga minyak boleh melonjak sehingga AS$115 setong, sekali gus memburukkan lagi inflasi dan memperlahankan pertumbuhan ekonomi global.

Berita berkaitan
Acara rasmi kerajaan dikecilkan, pastikan perbelanjaan berhemah: Fahmi
April 29, 2026· Isu semasa
Kerajaan Negeri Sembilan berjalan seperti biasa, isu adat tak dicampuri: Fahmi
April 29, 2026· Politik
Kamil nafi beri layanan seperti ‘lembu’ didakwa Akmal
1 jam lalu· Politik
UMNO Negeri Sembilan minta sidang DUN disegerakan
1 jam lalu· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Peniaga lesap RM610,000 terjerat pelaburan palsu
1 jam lalu · Isu semasa
AGC tolak permohonan Namewee, kes dadah diteruskan: Laporan
1 jam lalu · Isu semasa
Projek RM1.1 bilion: Bekas pembantu Rafizi sambung beri keterangan esok
18 jam lalu · Isu semasa
Krisis politik Negeri Sembilan: Persatuan peniaga bimbang ekonomi negeri terjejas
21 jam lalu · Isu semasa
Seorang individu didenda RM30,000 hina institusi kehakiman di FB: MCMC
21 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
February 13, 2026
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan
February 13, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok