Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Kerajaan kini sedang melaksanakan pendekatan ‘regulatory sandbox’ atau medan ujian regulatori bagi mengkaji kaedah terbaik mengawal selia platform media sosial, termasuk cadangan had umur pengguna, sebelum sebarang dasar dilaksanakan secara menyeluruh.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan kawal selia dapat dibuat secara teratur dan berkesan tanpa mengekang inovasi teknologi yang berkembang pesat.
Menurut beliau, beberapa platform media sosial telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan perbincangan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Sekarang proses medan ujian regulatori dan siri perbincangan dengan platform media sosial sedang berjalan. Setakat ini, kerjasama yang diberikan adalah baik dan memuaskan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Centre for Responsible Technology (CERT), hari ini.
Beliau menambah, langkah seterusnya akan diumumkan selepas proses berkenaan dimuktamadkan.
Isu kawal selia media sosial semakin mendapat perhatian susulan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna, khususnya golongan kanak-kanak dan remaja.
Dalam konteks itu, Fahmi menjelaskan Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) 2025 memberi fokus kepada pengawalseliaan platform digital, termasuk arahan melarang kandungan berbahaya seperti eksploitasi seksual kanak-kanak, iklan perjudian, penipuan dan jenayah dalam talian.
“ONSA juga membolehkan pengenaan peraturan lain termasuk had umur, dan pelaksanaannya bergerak seiring dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, terutama dari segi pelesenan platform,” katanya.
Menurut beliau, kedua-dua akta itu perlu dibaca bersama bagi memastikan pematuhan terhadap cadangan had umur minimum 16 tahun.
Pada masa sama, Fahmi berkata penubuhan CERT, yang akan ditempatkan bersama Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS Malaysia) dengan sokongan MCMC, bertujuan menjalankan kajian mendalam mengenai penggunaan teknologi baharu dan kesannya terhadap masyarakat.
“Hasil kajian ini, yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat dan pihak berkepentingan termasuk dari Asia Tenggara, akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri,” katanya.
SPRM nafi pilih kasih, siasatan projek jalan KKDW masih berjalan
Malaysia terus runding AS, mahu kekalkan tarif maksimum 19%: Johari
Dakwa dinafikan hak membela diri, Inspektor Sheila saman Ayob Khan dan PDRM
KDN buru individu berprofil tinggi dalam sindiket dadah TUDM
99.5 peratus sekolah seluruh negara sudah diliputi rangkaian 4G
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib