Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Kredit gambar: PMO
Anwar Ibrahim meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kelemahan berterusan dalam penguatkuasaan undang-undang, khususnya melibatkan isu penyeludupan, pencerobohan dan kegiatan jenayah terancang yang masih berleluasa walaupun pelbagai usaha pembaharuan telah dilaksanakan kerajaan.
Perdana Menteri secara terbuka mengakui kesabarannya semakin teruji dan memberi tempoh seminggu kepada pegawai tertinggi agensi penguat kuasa untuk menyatakan sama ada mereka benar-benar bersedia memikul amanah atau wajar berundur ke jawatan lebih rendah.
“Saya sampai ke satu tahap hilang kesabaran. Kalau rasa tidak mampu kerana cabaran terlalu besar, dalam tempoh seminggu maklumkan kepada ketua jabatan, kepada saya atau menteri bahawa belum bersedia,” katanya semasa berucap pada Majlis Amanat Bersama Ketua Jabatan dan Agensi Penguat Kuasa Berkaitan Jenayah Kewangan di Kementerian Kewangan,
Menurut Anwar, keputusan untuk berundur akan dihormati, namun mereka yang memilih untuk terus memegang tanggungjawab perlu membuktikan keberanian dan keupayaan melalui tindakan segera di lapangan.
Anwar berkata, walaupun kerajaan mencatat beberapa kejayaan dari segi ekonomi dan pentadbiran sejak hampir tiga tahun lalu, kelemahan dalam penguatkuasaan tidak boleh dibiarkan kerana ia menjejaskan kepercayaan rakyat dan agenda reformasi.
Beliau menegaskan masih terdapat kelompangan serius dalam sistem yang membolehkan kegiatan penyeludupan dan jenayah berlaku secara terang-terangan.
“Bagaimana penyeludupan boleh berlaku dengan mudah? Apakah kita sudah hilang nilai kebenaran, ikhlas, ihsan dan keadilan sehingga perkara ini dibiarkan?” soal beliau.
Menurut Anwar, penguatkuasaan tidak boleh bergerak secara berasingan, sebaliknya memerlukan kerjasama bersepadu semua agensi berkaitan.
Pegawai kanan yang berpengalaman dan berpangkat tinggi, katanya, bukan individu biasa dan kedudukan itu menuntut keberanian membuat keputusan yang betul, bukan sekadar laporan di atas kertas.
Beliau turut menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap budaya sambil lewa yang membuka ruang kepada rasuah, salah guna kuasa dan kegiatan gelap.
“Sekarang kita harus tanya diri, adakah kita benar-benar bersedia melakukan pembaharuan untuk selamatkan negara,” katanya.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar berkata tempoh seminggu yang diberikan mencerminkan ketegasan kerajaan dalam memperkukuh tadbir urus.
Menurutnya, tahun ini disifatkan sebagai tahun tindakan pantas dengan fokus kepada pematuhan peraturan, penguatkuasaan tegas dan pembanterasan rasuah secara menyeluruh.
Ops Lusuh tumpaskan sindiket simpan peralatan telekomunikasi curi di Sarawak
Pengesahan had umur: MCMC boleh kenakan denda RM10 juta kepada platform media sosial
Selepas 20 Tahun di Brunei, MP Miri bantu bapa empat anak kembali bina hidup baharu
Pengawal keselamatan dipenjara, didenda RM50,000 hina Agong di Facebook
Mahkamah sekat Papagomo sebar kandungan didakwa memudaratkan
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar