Sidang Dewan Rakyat di Parlimen.
Kerajaan dijangka membentangkan pindaan Perlembagaan Persekutuan di Parlimen tahun ini bagi mengukuhkan dasar mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal penuh.
Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha reformasi institusi untuk memperkukuh prinsip akauntabiliti dan tadbir urus negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, memaklumkan keputusan tersebut dicapai selepas Mesyuarat Mingguan Jemaah Menteri bersetuju dengan cadangan dasar berkenaan.
Menurutnya, keputusan itu dibuat hasil penelitian menyeluruh terhadap input dasar, pandangan awam serta syor yang dikemukakan melalui sesi libat urus melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.
“Kerajaan bersetuju mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri selama 10 tahun sebagai langkah penting untuk mengukuhkan prinsip akauntabiliti, semak dan imbang serta tadbir urus berteraskan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.
Isu had tempoh jawatan Perdana Menteri bukan perkara baharu dalam wacana politik Malaysia.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, cadangan tersebut sering dibangkitkan oleh pertubuhan masyarakat sivil dan ahli akademik yang berpandangan bahawa had penggal mampu mengelakkan penumpuan kuasa berlebihan serta memastikan peralihan kepimpinan yang lebih sihat dalam sistem demokrasi.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini turut menyatakan komitmen kerajaan untuk membentangkan rang undang-undang berkaitan sebagai antara keutamaan pada sesi Parlimen tahun ini.
Ketika menyampaikan amanat tahun baharu bersama warga Jabatan Perdana Menteri, beliau menegaskan reformasi institusi perlu dilaksanakan secara berperingkat tetapi konsisten.
Azalina berkata, cadangan mengehadkan tempoh jawatan ini juga bertujuan meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kepimpinan negara.
“Ia selaras dengan amalan demokrasi matang di peringkat antarabangsa dan mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk memperkukuh sistem demokrasi,” katanya.
Jika diluluskan, pindaan ini bakal menjadi antara perubahan besar dalam landskap perlembagaan negara, sekali gus menandakan satu fasa baharu dalam agenda reformasi politik Malaysia.
Ops Lusuh tumpaskan sindiket simpan peralatan telekomunikasi curi di Sarawak
Pemilik kenderaan diesel boleh mohon tambahan 100 liter bila-bila masa
Selepas 20 Tahun di Brunei, MP Miri bantu bapa empat anak kembali bina hidup baharu
Pengawal keselamatan dipenjara, didenda RM50,000 hina Agong di Facebook
Mahkamah sekat Papagomo sebar kandungan didakwa memudaratkan
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar