Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Bangunan warisan tidak wajar dianggap sebagai tinggalan masa lalu yang membebankan, sebaliknya perlu dilihat sebagai aset bernilai yang mampu menggerakkan ekonomi, merancakkan pelancongan dan membuka peluang pekerjaan baharu, kata Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata pemuliharaan bangunan bersejarah yang diberi nafas baharu boleh menjadi pemangkin kepada industri kreatif dan perniagaan tempatan, di samping mengukuhkan identiti bandar.
Menurutnya, usaha menghidupkan semula Bangunan Sultan Abdul Samad di Jalan Raja adalah contoh jelas bagaimana sejarah boleh disatukan dengan keperluan masa depan.
“Pemuliharaan ini bukan untuk mengulang nostalgia, tetapi memastikan sejarah terus hidup, difahami dan dijadikan pedoman ketika kita berdepan cabaran baharu,” katanya ketika berucap pada majlis penyempurnaan pemuliharaan bangunan berkenaan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, hari ini.
Bangunan Sultan Abdul Samad yang dibina pada akhir abad ke-19 merupakan antara mercu tanda terpenting Kuala Lumpur, pernah menjadi pusat pentadbiran British dan saksi kepada pelbagai detik penting negara.
Dalam konteks pembangunan bandar moden, Anwar berkata warisan seperti ini memberi kekuatan naratif kepada Kuala Lumpur sebagai sebuah kota yang progresif tetapi berakar pada sejarah.
Beliau menjelaskan pemuliharaan bangunan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif WARISAN KL, iaitu pendekatan strategik kerajaan untuk mengaktifkan semula tapak warisan utama sebagai enjin pertumbuhan ekonomi berasaskan budaya. I
nisiatif ini juga selari dengan sasaran Tahun Melawat Malaysia 2026 yang menekankan keunikan sejarah dan peradaban negara, bukan sekadar keindahan alam semula jadi.
“Seperti yang digariskan dalam Belanjawan 2026, projek ini merangkumi kesemua enam blok Bangunan Sultan Abdul Samad, selain kerja pemuliharaan Seri Negara dan Carcosa di Bukit Carcosa,” katanya.
Anwar turut menegaskan manfaat pemuliharaan mesti dirasai oleh rakyat.
“Bangunan warisan mesti dihidupkan, bukan sekadar dipelihara strukturnya. Rakyat biasa perlu dapat menikmati dan menggunakan ruang ini,” katanya.
Menurut beliau, Bangunan Sultan Abdul Samad akan menempatkan Galeri Bandaraya Kuala Lumpur yang memaparkan perjalanan sejarah bangunan tersebut dan ibu negara melalui lima ruang pameran bertema, merentasi tiga abad perkembangan kota.
MCMC saman Google RM300 juta isu kandungan palsu Papagomo
Dijanjikan untung 500 peratus, pengurus syarikat rugi RM262,200
Pemergian Pak Samad tinggalkan legasi besar, jadi inspirasi generasi muda: Fahmi
Kemalangan pejalan kaki di KL: 93 nyawa melayang sejak 2022
Wang peti besi RM325,000 lesap, pegawai bank didakwa seleweng
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib