Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Kajian berkaitan cadangan pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kuala Lumpur bukan dijalankan oleh parti politik, sebaliknya dilaksanakan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), kata Hannah Yeoh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu menjelaskan kajian tersebut sudah bermula sejak Disember tahun lalu di bawah pentadbiran menteri Wilayah Persekutuan terdahulu dan ketika ini masih di peringkat awal.
Menurutnya, kajian dilakukan susulan cadangan rang undang-undang persendirian yang pernah dibentangkan di Parlimen.
“Saya sudah jelaskan bahawa pada tahap ini ia masih kajian. Kenapa kita buat kajian? Sebab ada rang undang-undang persendirian dikemukakan sebelum ini. Kajian ini bukan dibuat sekarang, ia bermula sejak Disember lalu,” katanya.
Hannah turut menegaskan kajian itu dijalankan oleh institusi akademik dan bukan oleh mana-mana parti politik.
“Jangan takut, kajian ini dibuat oleh UIAM, sebuah universiti terkemuka. Ini bukan kajian orang DAP,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani Nota Kerjasama antara Jabatan Wilayah Persekutuan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Beliau berkata hasil kajian masih belum diperoleh dan kerajaan akan menilai dapatan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan dasar.
“Kita masih menunggu hasil kajian. Selepas itu barulah kita tentukan sama ada boleh dilaksanakan atau tidak sebelum dibawa ke Kabinet,” katanya.
Cadangan pilihan raya PBT, termasuk kemungkinan pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur, sebelum ini mencetuskan reaksi berbeza dalam kalangan ahli politik.
Ada pihak melihatnya sebagai usaha memperkukuh demokrasi tempatan, manakala pihak lain bimbang ia boleh memberi kesan politik dan pentadbiran kepada rakyat bandar.
Pilihan raya kerajaan tempatan di Malaysia pernah dilaksanakan sebelum dimansuhkan pada 1960-an atas faktor keselamatan dan penyelarasan pentadbiran.
Sejak itu, pemimpin PBT dilantik oleh kerajaan negeri atau persekutuan.
Hannah menegaskan ketika ini terlalu awal untuk membuat kesimpulan.
“Pada masa ini, pramatang untuk beri sebarang kenyataan lanjut kerana kajian masih berjalan,” katanya.
Pengesahan identiti pengguna: Penyedia platform media sosial beri kerjasama positif
Penjimatan kerajaan fokus belanja tidak kritikal, tak termasuk kesihatan dan pendidikan: MOF
Misi Flotilla Gaza 2.0: 10 warga Malaysia disahkan terputus hubungan
Wanita didakwa sebar berita palsu harga minyak: MCMC
Pemuda UMNO desak hentikan pesta air di Bkt Bintang, bidas Kementerian Pelancongan
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan