Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim mengkritik beberapa pemimpin pembangkang yang didakwa membuat tuduhan tanpa merujuk fakta berhubung isu sempadan Malaysia–Indonesia, khususnya melibatkan kawasan di Pulau Sebatik.
Ketika sesi dialog bersama pelajar universiti swasta di ibu negara, Perdana Menteri berkata terdapat pihak yang cepat menuduh kerajaan menjual negara tanpa memahami maklumat sebenar.
“Isunya sempadan negara, tetapi tuduhan yang dilemparkan kononnya kerajaan khianat. Fakta belum tahu, membaca malas,” katanya.
Kenyataan itu muncul selepas perdebatan hangat di Parlimen mengenai dakwaan Malaysia menyerahkan lebih 5,000 hektar tanah kepada Indonesia.
Anwar menegaskan dakwaan tersebut tidak benar dan bersifat mengelirukan.
Menurut beliau, penentuan sempadan dibuat berdasarkan perjanjian sejarah dan konvensyen antarabangsa, bukannya melalui konsep pampasan atau pertukaran wilayah seperti yang didakwa.
Rundingan sempadan pula mengambil masa puluhan tahun melalui proses teknikal antara kedua-dua negara.
Isu ini kembali hangat selepas laporan media mendakwa Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah sebagai pertukaran untuk tiga kampung berhampiran Nunukan.
Kerajaan bagaimanapun menegaskan kawasan terbabit sebahagiannya adalah kawasan rundingan yang belum dimuktamadkan sejak sekian lama.
Untuk rekod, perbincangan sempadan darat Malaysia–Indonesia bermula sejak dekad 1970-an dan berpandukan perjanjian lama sejak era pentadbiran kolonial.
Rundingan diteruskan sehingga kini bagi menyelesaikan kawasan yang masih belum dipersetujui secara rasmi.
Pada masa sama, kerajaan menegaskan pendekatan diplomasi dipilih bagi mengekalkan hubungan dua hala yang stabil.
Anwar berkata Malaysia perlu menghormati kedaulatan negara jiran jika mahu hak Malaysia turut dihormati.
Dalam ucapan sama, beliau turut mengingatkan kepentingan nilai kemanusiaan selain kecemerlangan akademik.
“Yang mencuri berbilion ini bukan orang bodoh. Mereka orang pintar, tetapi hilang nilai kemanusiaan,” ujarnya lagi.
Kerajaan sebelum ini turut memaklumkan hasil pengukuran sempadan terkini membolehkan Malaysia memperoleh tambahan kira-kira 780 hektar kawasan baharu di lokasi lain sepanjang sempadan dua negara.
Anwar, Fahmi beri penghormatan terakhir kepada A Samad Said
MCMC saman Google RM300 juta isu kandungan palsu Papagomo
Dijanjikan untung 500 peratus, pengurus syarikat rugi RM262,200
Pemergian Pak Samad tinggalkan legasi besar, jadi inspirasi generasi muda: Fahmi
Kemalangan pejalan kaki di KL: 93 nyawa melayang sejak 2022
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib