Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, menegaskan tidak bercadang untuk bercuti walaupun berdepan dakwaan yang melibatkan dirinya, malah akan terus melaksanakan tanggungjawab seperti biasa.
Azam berkata tiada keperluan untuk beliau bercuti memandangkan ramai lagi yang berdepan kes mahkamah tetapi masih meneruskan khidmat mereka dan mempersoalkan sama ada wujud jenayah yang dilakukannya sehingga didesak untuk bercuti sementara.
“Saya tak perlu bercuti. Kalau nak bercuti, berapa ramai yang kena tuduh sekarang ni di mahkamah tetapi masih lagi bertugas? Ada orang bekas menteri kewangan pun masih lagi bertugas ketika kes dalam siasatan. Saya ada buat jenayah kah?” katanya selepas menghadiri majlis perasmian Kampung Angkat Madani hari ini.
Beliau menegaskan keyakinan terhadap Jawatankuasa Khas Siasatan yang ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan ke atasnya dan berjanji akan memberi kerjasama penuh, termasuk menyerahkan dokumen dan keterangan yang diperlukan.
“Saya serahkan pada jawatankuasa, mereka boleh jalankan tanggungjawab dan saya bersedia untuk memberi apa-apa dokumen atau keterangan yang diperlukan,” katanya.
Azam juga memberitahu belum dipanggil untuk memberi keterangan rasmi, tetapi sedia bekerjasama sekiranya diperlukan dan dokumen peribadi seperti rekod bank akan dikemukakan terus kepada jawatankuasa berkenaan.
“Tak kan saya hendak tunjuk pada orang yang tiada berkaitan pula,” ujarnya.
Beliau juga telah menyerahkan surat tuntutan (LOD) kepada Bloomberg dan bersedia meneruskan tindakan saman sekiranya tiada maklum balas dalam tempoh 14 hari yang ditetapkan.
Dakwaan terhadap Azam timbul selepas laporan Bloomberg mendakwa beliau memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Laporan itu mencetuskan gesaan daripada pelbagai pihak supaya beliau direhatkan daripada jawatan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan tiada keperluan segera untuk merehatkan Azam, sebaliknya menyerahkan kepada jawatankuasa khas untuk menjalankan siasatan terlebih dahulu.
Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar, dan turut dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican.
Kerajaan susun semula perbelanjaan, perkhidmatan rakyat tidak terjejas: MOF
Kos harga tenaga dijangka melonjak susulan krisis di Asia Barat: Bank Dunia
Peniaga lesap RM610,000 terjerat pelaburan palsu
AGC tolak permohonan Namewee, kes dadah diteruskan: Laporan
Krisis politik Negeri Sembilan: Persatuan peniaga bimbang ekonomi negeri terjejas
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan