Projek MyDigital ID (MyDID).
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 mendedahkan perbelanjaan berjumlah RM28.13 juta bagi Projek MyDigital ID (MyDID) di bawah pengurusan MIMOS Berhad dibuat tanpa kelulusan jawatankuasa yang ditetapkan.
Laporan yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin itu menunjukkan wujud kelemahan dalam tadbir urus serta kawalan dalaman ketika pelaksanaan awal projek berkenaan.
Menurut LKAN, struktur tadbir urus projek didapati tidak berfungsi seperti ditetapkan, termasuk tiada pembentangan rasmi bagi kelulusan perbelanjaan dan status pelaksanaan dalam mesyuarat pemantauan.
“Dari aspek kewangan, sejumlah RM28.13 juta dibelanjakan tanpa kelulusan jawatankuasa ditetapkan. Keadaan tersebut menunjukkan ketidakpatuhan jelas terhadap struktur kos projek dan syarat yang dipersetujui,” menurut laporan itu.
Daripada jumlah tersebut, audit mendapati 11 sub-skop projek dibelanjakan tanpa atau melebihi peruntukan berjumlah RM4.08 juta, manakala satu sub-skop lagi merekodkan lebihan kos sebanyak RM70,000.
Pengauditan meliputi tempoh Julai 2023 hingga Mac 2025, melibatkan penggunaan RM28.13 juta daripada penyaluran pertama berjumlah RM80 juta.
Selain itu, sebanyak RM14.09 juta dibelanjakan bagi kos sumber manusia, emolumen, kemudahan perubatan kakitangan dan kelengkapan pejabat menggunakan dana pembangunan.
“Daripada jumlah itu, RM13.10 juta atau 93 peratus adalah untuk bayaran emolumen,” jelas LKAN sambil menyatakan perkara itu bertentangan dengan garis panduan pelaksanaan projek pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Audit turut menegur pembelian peralatan ‘Certificate Authority’ bernilai RM79,000 yang dibuat tanpa kelulusan Makmal Kajian Nilai dan tidak digunakan, sekali gus disifatkan sebagai pembaziran serta mencerminkan kelemahan kawalan aset.
Sehubungan itu, LKAN menegaskan wakil MIMOS sebagai Ahli Lembaga Pengarah perlu memastikan tanggungjawab fidusiari dilaksanakan sepenuhnya, termasuk mematuhi syarat ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri terhadap My Digital ID Sdn Bhd.
MyDigital ID dibangunkan sebagai sistem pengesahan identiti digital yang selamat bagi memudahkan urusan dalam talian tanpa menggantikan MyKad.
Projek ini bertujuan memperkukuh keyakinan dalam landskap digital negara, namun LKAN menegaskan penambahbaikan tadbir urus dan pematuhan peraturan perlu disegerakan bagi memastikan objektif asalnya benar-benar tercapai.
Pelaburan RM2 bilion perkasa usahawan bumiputera: Anwar
Seorang didakwa, lima dikompaun kes berita palsu isu minyak: MCMC
Harga beras Asia naik mendadak ekoran krisis Asia Barat
Dron AS bernilai AS$238 juta hilang semasa operasi di Iran: Laporan
Keperluan bahan api dalam negara diutamakan sebelum bekal kepada Australia: PMX
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan