Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.
Tindakan seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang didakwa memuat naik gambar memijak Al-Quran di media sosial mencetuskan kecaman pelbagai pihak, termasuk Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.
Rayer menyifatkan perbuatan itu sebagai keterlaluan dan tidak boleh diterima dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia yang berasaskan prinsip saling menghormati antara agama dan kaum.
Menurutnya, setiap rakyat mempunyai tanggungjawab untuk menjaga sensitiviti kepercayaan orang lain.
“Kita hidup dalam negara berbilang kaum dan agama. Hormat itu bukan pilihan, ia kewajipan,” katanya dipetik laporan media.
Beliau menegaskan tindakan mempersenda, memperlekeh atau merendahkan mana-mana agama adalah tindakan yang salah dan bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama.
Katanya lagi, memijak mana-mana kitab suci, lebih-lebih lagi kitab agama lain, adalah satu tindakan yang jelas melampaui batas.
“Perbuatan memijak kitab suci agama lain adalah salah dan tidak boleh dikompromi. Tindakan tegas mengikut undang-undang perlu diambil,” ujarnya.
Selain itu, Rayer turut memuji tindakan bapa pelajar berkenaan yang menyerahkan anaknya kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut dan langkah itu menunjukkan sikap bertanggungjawab dan menghormati proses undang-undang.
“Tindakan bapa pelajar itu wajar dipuji. Sekarang biarlah undang-undang menentukan proses seterusnya,” katanya lagi.
Beliau pada masa sama mengingatkan orang ramai supaya tidak bertindak di luar batas undang-undang atau mengambil tindakan sendiri susulan insiden berkenaan.
“Kita perlu tenang dan serahkan kepada pihak berkuasa. Jangan ambil tindakan sendiri kerana itu hanya akan memburukkan keadaan,” tegasnya.
Ops Lusuh tumpaskan sindiket simpan peralatan telekomunikasi curi di Sarawak
Pemilik kenderaan diesel boleh mohon tambahan 100 liter bila-bila masa
Pengesahan had umur: MCMC boleh kenakan denda RM10 juta kepada platform media sosial
Selepas 20 Tahun di Brunei, MP Miri bantu bapa empat anak kembali bina hidup baharu
Pengawal keselamatan dipenjara, didenda RM50,000 hina Agong di Facebook
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar