Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
Perbicaraan kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang didakwa atas pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram akan bermula esok di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata prosiding dijadualkan bermula jam 9 pagi di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin dengan pihak pendakwaan akan membentangkan kenyataan pembukaan kes.
“Perbicaraan akan dimulakan dengan kenyataan pembukaan pihak pendakwaan yang menggariskan pertuduhan serta bukti terhadap tertuduh. Dua saksi dijangka memberi keterangan pada hari pertama,” katanya dipetik laporan media.
Mahkamah sebelum ini menetapkan sebanyak 29 hari perbicaraan bermula 9 hingga 11 Mac, diikuti beberapa tarikh lain sepanjang April, Mei, Julai dan Ogos 2026.
Kira-kira 30 saksi pendakwaan dijangka dipanggil bagi memberi keterangan sepanjang prosiding.
Pada 7 Oktober tahun lalu, Jabatan Peguam Negara menolak representasi yang dikemukakan Muhyiddin untuk menggugurkan tujuh pertuduhan terhadapnya.
Muhyiddin, 78, yang juga Ahli Parlimen Pagoh dan bekas presiden Parti Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya ketika menjadi Perdana Menteri untuk memperoleh suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.
Suapan tersebut didakwa berkaitan projek di bawah program Program Jana Wibawa daripada beberapa syarikat termasuk Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd.
Kesalahan itu didakwa berlaku di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.
Selain itu, beliau turut menghadapi tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM200 juta yang didakwa hasil daripada aktiviti haram.
Wang berkenaan didakwa dimasukkan ke dalam akaun bank milik Bersatu di AmBank dan CIMB Bank antara Februari 2021 hingga Julai 2022.
Pertuduhan salah guna kuasa dibuat di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda sekiranya sabit kesalahan.
Sementara itu, pertuduhan pengubahan wang haram difailkan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda yang tinggi jika disabitkan kesalahan.
Kes ini mendapat perhatian meluas kerana ia melibatkan seorang bekas Perdana Menteri dan berkait dengan pengurusan dana projek kerajaan semasa pentadbiran beliau.
Tiada perubahan kepimpinan Negeri Sembilan, Aminuddin kekal MB: PMX
Konsert Air di Melaka tanpa DJ, Akmal gesa program di Bukit Bintang dihentikan
Puad bidas DAP takut bubar DUN Negeri Sembilan
Rundingan jadi kunci redakan isu BN-PH di Negeri Sembilan: Zahid
Zahid tolak langkah ‘tebuk atap’ di Negeri Sembilan: Loke
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan