Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Kajian kebolehlaksanaan bagi meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 untuk membolehkan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kuala Lumpur, termasuk pemilihan Datuk Bandar secara pilihan raya, dijangka siap pada hujung bulan ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata, kajian yang dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kini masih berjalan dan laporan interim sudah dibentangkan kepada kerajaan.
Beliau menjelaskan beberapa sesi temu bual dengan pihak berkepentingan masih diteruskan sebelum laporan akhir disiapkan.
“Selepas bulan Mac mereka dijangka menyiapkan kajian itu. Jika tidak, mereka akan bertemu dengan kita semula.
“Mereka sudah datang sekali dan telah bentangkan laporan interim, tetapi sesi temu bual masih berjalan,” katanya dipetik laporan media.
Menurut beliau, laporan tersebut juga belum lagi dibentangkan kepada Jemaah Menteri kerana kerajaan perlu menunggu kajian lengkap diserahkan terlebih dahulu.
“Pembentangan kepada Kabinet belum lagi, saya perlu tunggu kajian itu siap dahulu,” katanya lagi.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil turut menggesa orang ramai supaya tidak memandang rendah kemampuan universiti awam seperti UIAM dalam menjalankan kajian berkaitan kemungkinan pelaksanaan pilihan raya PBT serta mekanisme pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Perbincangan mengenai pilihan raya kerajaan tempatan kembali menjadi perhatian sejak kebelakangan ini, selepas cadangan tersebut dibangkitkan semula di Parlimen melalui Rang Undang-Undang persendirian oleh seorang ahli Parlimen.
Kerajaan sebelum ini memaklumkan kajian berkaitan perkara itu sudah pun dimulakan sejak Disember tahun lalu dan merupakan kesinambungan daripada usaha pentadbiran Menteri Wilayah Persekutuan terdahulu.
Pilihan raya kerajaan tempatan pernah diadakan di beberapa bandar utama negara sebelum ia digantung pada 1960-an.
Sejak itu, Datuk Bandar dan ahli majlis PBT dilantik oleh kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan.
Cadangan untuk mengembalikan pilihan raya PBT dilihat oleh sesetengah pihak sebagai langkah memperkukuh demokrasi di peringkat tempatan, namun ia juga menimbulkan pelbagai perdebatan berkaitan implikasi politik dan pentadbiran.
Ops Lusuh tumpaskan sindiket simpan peralatan telekomunikasi curi di Sarawak
Pemilik kenderaan diesel boleh mohon tambahan 100 liter bila-bila masa
Pengesahan had umur: MCMC boleh kenakan denda RM10 juta kepada platform media sosial
Selepas 20 Tahun di Brunei, MP Miri bantu bapa empat anak kembali bina hidup baharu
Pengawal keselamatan dipenjara, didenda RM50,000 hina Agong di Facebook
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar