Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin.
Angkatan Muda Keadilan (AMK) mempersoalkan sikap beberapa aktivis hak asasi yang didakwa berdiam diri ketika isu ketegangan kaum kembali hangat diperkatakan, walaupun sebelum ini sering lantang menyuarakan pendirian dalam pelbagai isu awam.
Ketua Penerangan AMK Danish Hairudin berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan kerana isu berkaitan hubungan kaum dan rumah ibadat boleh memberi kesan besar terhadap keselamatan serta keharmonian masyarakat.
Menurutnya, individu yang sebelum ini sering tampil mempertahankan prinsip hak asasi manusia kini dilihat tidak bersuara walaupun ketegangan tersebut berpotensi menjejaskan keamanan awam.
“Dalam isu ketegangan kaum yang boleh menggugat keselamatan awam dan menjejaskan nyawa rakyat, suara yang biasanya begitu lantang memperjuangkan hak asasi tiba-tiba menjadi sunyi.
“Isu politik mereka paling bising tetapi isu ketegangan kaum mereka paling senyap,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Beliau turut mempersoalkan ketiadaan reaksi daripada beberapa aktivis terkenal yang sebelum ini aktif dalam perdebatan awam mengenai keadilan sosial dan kebebasan sivil.
“Mana Ambiga? Mana Surendran? Mana Latheefa Koya?” soalnya.
Danish mendakwa beberapa suara tersebut pernah terlibat pada peringkat awal isu yang kini kembali diperkatakan secara meluas dalam kalangan masyarakat.
“Suara-suara ini pernah terlibat pada hari-hari awal isu yang kini kembali hangat diperkatakan. Jangan lupa. Jangan baling batu sembunyi tangan sekarang apabila isu rumah-rumah ibadat ini sudah mencapai tahap didih,” katanya lagi.
Beliau menambah masyarakat berhak mengetahui mengapa individu yang sering dilihat sebagai suara moral dalam memperjuangkan keadilan kini seolah-olah tidak kedengaran.
“Rakyat berhak bertanya, ke mana hilangnya suara moral yang sering mendakwa berdiri di atas prinsip keadilan dan kemanusiaan.
“Adakah prinsip itu hanya muncul apabila isu tersebut boleh dipolitikkan untuk menyerang kerajaan?” katanya.
Isu berkaitan sensitiviti kaum dan rumah ibadat sebelum ini pernah mencetuskan perdebatan hangat di negara ini, terutama apabila ia melibatkan persepsi ketidakadilan atau menyentuh sensitiviti agama.
Kerajaan dan pelbagai pihak sering mengingatkan agar masyarakat mengelakkan kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum.
Selain itu, Danish turut berkata keadilan dan keharmonian dalam masyarakat seharusnya dizahirkan secara konsisten tanpa mengira kepentingan politik.
“Jika benar komited kepada keadilan dan keharmonian masyarakat, keberanian bersuara seharusnya konsisten, bukan hanya apabila ia selari dengan kepentingan politik tertentu,” katanya.
Rundingan jadi kunci redakan isu BN-PH di Negeri Sembilan: Zahid
Zahid tolak langkah ‘tebuk atap’ di Negeri Sembilan: Loke
Sayap pemuda DAP desak pecat Tok Mat, dakwa jejaskan kestabilan kerajaan
Keputusan 14 ADUN dihormati, namun sokongan kepada kerajaan Negeri Sembilan diteruskan
Krisis Negeri Sembilan isyarat jelas UMNO mahu bertanding solo PRU-16: Rafizi
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan