Setiausaha Agung Parti Amanah, Muhammad Faiz Fadzil.
Parti Amanah menegaskan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kes salah guna dana zakat yang kini sedang disiasat pihak berkuasa, ia susulan dakwaan yang tular di media sosial yang cuba mengaitkan parti berkenaan dengan skandal tersebut.
Setiausaha Agungnya Faiz Fadzil berkata tuduhan itu merupakan cubaan pihak tertentu untuk mencemarkan imej parti tersebut.
“Amanah menegaskan bahawa parti ini tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan kes salah guna dana zakat yang sedang disiasat SPRM,” katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Nasional parti itu.
Beliau turut menggesa agar siasatan dijalankan secara bebas dan telus demi menjaga kepentingan awam.
“Dana zakat adalah amanah untuk membantu golongan asnaf, bukannya untuk kepentingan peribadi mana-mana pihak,” katanya lagi.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor mengesahkan sedang menyiasat kes penyelewengan dana kutipan awam yang dianggarkan bernilai RM230 juta, melibatkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Dalam siasatan tersebut, pelbagai aset telah disita termasuk hartanah, kenderaan dan akaun bank dengan nilai keseluruhan sekitar RM150 juta.
Namun begitu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki sebelum ini menjelaskan kes tersebut tidak melibatkan penyelewengan dana zakat.
Walaupun begitu, spekulasi terus tersebar di media sosial sehingga mengaitkan beberapa pihak termasuk pimpinan politik.
Dalam perkembangan berkaitan, Amanah turut menyuarakan kebimbangan terhadap situasi politik semasa di Negeri Sembilan.
Faiz menegaskan parti itu menolak sebarang usaha untuk menubuhkan kerajaan melalui cara yang tidak sah atau “tebuk atap”.
“Amanah mengutuk sebarang usaha membentuk kerajaan tebuk atap yang boleh menggugat kestabilan politik dan mengganggu pentadbiran kerajaan,” katanya.
Saman fitnah: Pengarah Strategi Pemuda PAS Perak diarah bayar RM250,000
PH tolak cubaan ambil alih kerajaan Negeri Sembilan
Pemimpin utama Kerajaan Perpaduan bertemu, cari jalan keluar krisis NS
Krisis NS: Muhyiddin serah kepada pemimpin atasan PN beri penjelasan
Krisis Negeri Sembilan tak beri kesan kepada kerajaan pusat: Fahmi
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan