Presiden Parti Amanah, Mohamad Sabu.
Orang ramai diminta bertenang dan tidak melakukan pembelian panik susulan perkembangan konflik antara Amerika Syarikat dan Iran yang menimbulkan kebimbangan mengenai rantaian bekalan global.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata, bekalan makanan negara ketika ini masih mencukupi dan stabil sekurang-kurangnya sehingga Julai ini.
Menurutnya, orang ramai tidak perlu membeli barangan secara berlebihan kerana stok makanan di seluruh negara berada pada tahap selamat.
“Semua mencukupi. Semua macam biasa. Jangan beli panik. Kalau niat beli empat ekor, belilah empat ekor sahaja. Tak payahlah beli berlebihan kerana bekalan kita cukup sehingga Julai,” katanya semasa menghadiri Majlis Penyerahan Dividen Pertubuhan Peladang Negeri dan Majlis Iftar anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).
Mohamad menjelaskan, setakat ini keadaan bekalan makanan masih stabil di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Keadaan bekalan makanan stabil, insya-Allah di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Kalau ada kesan daripada perkembangan global, mungkin lebih kepada harga, tetapi dari segi bekalan barang ia masih mencukupi,” katanya.
Beliau turut memaklumkan kementerian akan memantau situasi semasa dan membuat pengumuman dari semasa ke semasa, khususnya jika terdapat kesan daripada kenaikan harga bahan api atau gangguan rantaian bekalan global dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
“Kesan kenaikan harga mungkin hanya dapat dilihat dalam tiga hingga empat bulan lagi. Buat masa ini tiada perubahan, harga masih seperti biasa,” katanya.
Menurutnya, harga ayam dan daging masih kekal pada kadar semasa kerana bekalan yang berada di pasaran ketika ini adalah stok yang telah disediakan lebih awal.
Tambah beliau, sebarang pelarasan harga pada masa hadapan juga perlu mengambil kira pandangan beberapa kementerian lain termasuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan Kementerian Kewangan Malaysia.
Konflik geopolitik yang berlaku di Timur Tengah sejak kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan global mengenai kestabilan harga tenaga dan makanan.
Namun kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan makanan domestik masih terkawal dan rakyat tidak perlu membuat pembelian secara panik.
Ops Lusuh tumpaskan sindiket simpan peralatan telekomunikasi curi di Sarawak
Pemilik kenderaan diesel boleh mohon tambahan 100 liter bila-bila masa
Pengesahan had umur: MCMC boleh kenakan denda RM10 juta kepada platform media sosial
Selepas 20 Tahun di Brunei, MP Miri bantu bapa empat anak kembali bina hidup baharu
Pengawal keselamatan dipenjara, didenda RM50,000 hina Agong di Facebook
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar