Lembaga Tabung Haji.
Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.50 peratus bagi tahun kewangan 2025, sekali gus mencatat kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun sejak 2018.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata jumlah keseluruhan agihan itu mencecah RM3.22 bilion dan memberi manfaat kepada lebih 9.7 juta pendeposit di seluruh negara.
“Kadar ini dicapai selepas mengambil kira pelunasan zakat sebanyak 2.577 peratus atau RM95.3 juta,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau menjelaskan prestasi tersebut disokong oleh tadbir urus yang semakin kukuh, pengurusan kos yang berdisiplin serta strategi pelaburan yang mampan dalam persekitaran ekonomi yang stabil.
Sebagai latar belakang, Tabung Haji yang ditubuhkan lebih enam dekad lalu berperanan mengurus simpanan umat Islam di Malaysia bagi tujuan menunaikan ibadah haji.
Sehingga kini, institusi itu telah membantu lebih 1.5 juta rakyat Malaysia menunaikan rukun Islam kelima tersebut, selain mengagihkan jumlah keuntungan terkumpul sebanyak RM49 bilion kepada pendeposit.
Selain itu, TH turut menyalurkan zakat berjumlah RM95.3 juta kepada Majlis Agama Islam Negeri bagi pihak pendeposit.
“Sehingga kini, jumlah zakat yang dilunaskan telah mencecah RM1.57 bilion, sekali gus membantu golongan asnaf di seluruh negara,” kata Zulkifli.
Dari sudut prestasi kewangan, TH merekodkan pendapatan pelaburan tertinggi sebanyak RM4.64 bilion pada 2025 berbanding RM4.56 bilion tahun sebelumnya.
Kedudukan kewangan juga kekal kukuh dengan jumlah aset RM98.58 bilion, melebihi liabiliti sebanyak RM95.63 bilion.
Pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan masing-masing bermula jam 10 pagi, 19 Mac melalui platform THiJARI, kaunter Tabung Haji serta bank rakan strategik.
Selain itu, menerusi Program Zakat Wakalah, TH telah membantu lebih 726,000 asnaf tahun lalu, menjadikan keseluruhan penerima manfaat melebihi 2.9 juta orang dalam tempoh sedekad.
Agihan keuntungan ini dibuat selaras dengan Akta Tabung Haji 1995 selepas penyata kewangan tahun 2025 selesai diaudit oleh Jabatan Audit Negara.
Ebit Lew diperintah bela diri kes gangguan seksual
Kapal bantuan Gaza dipintas, Malaysia kecam tindakan tentera Zionis: Fahmi
Kerajaan usaha bebaskan aktivis GSF, PMX rayu keluarga terus kuat
Pengesahan identiti pengguna: Penyedia platform media sosial beri kerjasama positif
Penjimatan kerajaan fokus belanja tidak kritikal, tak termasuk kesihatan dan pendidikan: MOF
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan