Mohamad Sabu.
Rakyat digalakkan memanfaatkan ruang kecil di kediaman masing-masing untuk menanam sayur-sayuran sebagai usaha mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan import yang terdedah kepada ketidaktentuan global.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata, konflik geopolitik di Asia Barat ketika ini bukan sekadar isu luar negara, malah turut memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan dunia.
Menurut beliau, walaupun kesannya belum dirasai secara langsung oleh rakyat, gangguan berpanjangan terhadap rantaian bekalan boleh menjejaskan ketersediaan makanan di dalam negara.
“Sebab itu, saya hendak ajak semua, kalau ada ruang walaupun kecil di rumah, tanamlah apa yang mampu seperti cili, sayur atau ulam.
“Sedikit sebanyak boleh bantu kurangkan kebergantungan dan pada masa sama memberi manfaat kepada keluarga,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.
Saranan itu hadir ketika kebimbangan terhadap keselamatan makanan global semakin meningkat susulan konflik dan ketegangan geopolitik yang menjejaskan pengeluaran serta penghantaran bekalan makanan antara negara.
Terdahulu pada Disember lalu, Mohamad sendiri menunjukkan contoh apabila memanfaatkan kawasan terhad di sekitar rumahnya untuk menanam pelbagai tanaman termasuk pandan dan ulam raja.
Usaha itu melengkapkan aktiviti pertanian kecil-kecilan beliau selepas berjaya menternak ikan tilapia dan menanam bawang sebelum ini.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan kerajaan akan terus memperkukuh sistem makanan negara bagi memastikan bekalan mencukupi serta mudah diakses oleh rakyat.
“Ini tanggungjawab yang sedang dan akan terus kita laksanakan. Yang penting, kita sama-sama ambil peranan dan mulakan dengan apa yang ada,” katanya.
Beliau turut optimis bahawa langkah kecil yang dimulakan di peringkat isi rumah mampu memberi impak besar dalam jangka panjang.
“Insya-Allah, usaha kecil hari ini akan jadi kekuatan besar untuk masa depan,” ujarnya.
Anwar, Fahmi beri penghormatan terakhir kepada A Samad Said
MCMC saman Google RM300 juta isu kandungan palsu Papagomo
Dijanjikan untung 500 peratus, pengurus syarikat rugi RM262,200
Asas ekonomi negara lebih kukuh selepas empat tahun: PMX
Pemergian Pak Samad tinggalkan legasi besar, jadi inspirasi generasi muda: Fahmi
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib