Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, hari ini menerima taklimat mengenai pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), satu langkah baharu kerajaan untuk menjadikan ruang digital lebih selamat khususnya bagi kanak-kanak dan keluarga di Malaysia.
Taklimat itu disampaikan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dalam sesi menghadap di Istana Bukit Tunku, menurut kenyataan yang dikongsi menerusi Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Menurut kenyataan itu, akta berkenaan memberi fokus kepada tanggungjawab platform dalam talian dalam memastikan keselamatan pengguna.
“Pelaksanaan ONSA bertujuan menjadikan internet lebih selamat untuk keluarga dan kanak-kanak melalui penetapan tanggungjawab yang jelas kepada platform dalam talian,” menurut hantaran tersebut.
Selain itu, kerajaan turut memperkenalkan mekanisme pengesahan umur bagi mengehadkan kanak-kanak di bawah 16 tahun daripada membuka akaun media sosial.
Langkah ini dilihat penting dalam usaha melindungi golongan muda daripada risiko bahaya dalam talian.
Fahmi turut menjelaskan akta tersebut juga bertujuan menangani isu akaun palsu, termasuk yang menyasarkan institusi diraja.
“Ia sebahagian daripada usaha memastikan ruang digital lebih bertanggungjawab dan bebas daripada penyalahgunaan identiti,” katanya.
ONSA yang mula dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu, merupakan sebahagian daripada usaha lebih luas kerajaan untuk memperkukuh keselamatan siber negara.
Sebelum ini, peningkatan kes buli siber, penipuan dalam talian dan penyebaran kandungan berbahaya mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, khususnya ibu bapa.
Di bawah akta ini, penyedia perkhidmatan digital yang berlesen diwajibkan mengambil langkah keselamatan berdasarkan tahap risiko, termasuk menyediakan perlindungan khusus kepada kanak-kanak serta mekanisme aduan dan bantuan kepada pengguna.
Akta ini terpakai kepada penyedia perkhidmatan yang beroperasi di bawah rangka kerja perlesenan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, merangkumi perkhidmatan aplikasi, kandungan dan rangkaian.
Dengan pelaksanaan ONSA, kerajaan berharap ekosistem digital negara dapat menjadi lebih selamat, telus dan bertanggungjawab, seiring dengan perkembangan pesat teknologi dan penggunaan internet dalam kehidupan harian.
SPRM sahkan panggil Rafizi beri keterangan Isnin
Ringgit kukuh, ekonomi Malaysia kian diyakini dunia: Kamil
Kes bunuh 61 tikaman: Mangsa baharu seminggu sambung semester baharu
Global Sumud Flotilla: 10 rakyat Malaysia sudah dibebaskan
Kes bunuh 61 tikaman: Empat individu direman Polis Kelantan
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan