Harga minyak dunia dijangka meningkat.
Harga minyak global melonjak ketara selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan operasi ketenteraan terhadap Iran akan diteruskan, termasuk menyasarkan kemudahan tenaga dan minyak dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
Niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat AS$4.88 atau 4.8 peratus kepada AS$106.04 setong, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) naik AS$4.17 atau 4.2 peratus kepada AS$104.29 setong.
Kenaikan ini berlaku selepas kedua-dua penanda aras itu sebelum ini mencatat penurunan dalam sesi dagangan terdahulu.
Dalam ucapan kepada negara, Trump memberi bayangan bahawa konflik semakin hampir ke penghujung, namun tidak menetapkan sebarang garis masa yang jelas.
“Kami akan menamatkan tugas ini, dan kami akan menamatkannya dengan sangat cepat. Kami semakin hampir,” katanya.
Penganalisis melihat kenyataan tersebut sebagai faktor utama yang mencetuskan kebimbangan baharu terhadap bekalan minyak global, khususnya dari rantau Timur Tengah yang menjadi laluan penting perdagangan tenaga dunia.
Ketegangan yang semakin memuncak turut meningkatkan risiko terhadap keselamatan perkapalan.
Pada Rabu, sebuah kapal tangki minyak yang disewa oleh QatarEnergy dilaporkan terkena peluru berpandu Iran di perairan Qatar, menurut kementerian pertahanan negara itu.
Insiden ini menambah lagi kebimbangan mengenai gangguan kepada laluan penghantaran minyak utama.
Untuk rekod, konflik antara Amerika Syarikat dan Iran telah lama menjadi faktor sensitif dalam pasaran tenaga global. Sebarang peningkatan ketegangan sering memberi kesan langsung kepada harga minyak kerana kebimbangan terhadap gangguan bekalan.
Ketua Agensi Tenaga Antarabangsa sebelum ini turut memberi amaran sebarang gangguan bekalan berterusan boleh mula menjejaskan ekonomi Eropah seawal bulan April kerana sebelum ini, benua tersebut masih dilindungi oleh kontrak penghantaran minyak yang dimeterai sebelum konflik tercetus.
Dengan situasi yang masih tidak menentu, pasaran dijangka terus berdepan turun naik dalam tempoh terdekat, bergantung kepada perkembangan ketenteraan dan kestabilan geopolitik di rantau berkenaan.
Kerajaan kaji pengecualian PTPTN untuk graduan kelas pertama
RM14 bilion wang tidak dituntut, ramai tak sedar: Amir Hamzah
Winbox, Alibaba antara sindiket judi dalam talian terbesar dalam pantauan polis
Pengerusi TH terima Ijazah Kehormat Doktor Da’wah dan Pengurusan USIM
Mahkamah keluar injunksi halang Bloomberg siar artikel berkait Farhash: Laporan
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum